Datuk Ahmad Nazri Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Pertama Digital baharu | DagangNews Skip to main content

Datuk Ahmad Nazri Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Pertama Digital baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pertama Digital Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazri Abdullah sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif baharunya berkuat kuasa serta-merta. 

 

Beliau menggantikan Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Pertama Digital, yang akan dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

 

Ahmad Nazri membawa bersamanya pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang teknologi dan sektor awam yang akan membantu Pertama Digital bergerak ke hadapan.

 

Ia membantu dalam pengembangan dan pelaksanaan produk serta barisan perniagaan baharu di samping rancangan perluasan dan pertumbuhannya dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah International Institute of Advance Islamic Studies, Pengarah Radicare (M) Sdn Bhd, Pengarah Pusat Pakar Universiti Malaya, Pengerusi UM Plantation dan Pengerusi Alypz Malaysia Sdn Bhd.

 

Ahmad Nazri berkata, beliau berterima kasih kepada Lembaga Pengarah Pertama Digital kerana memberinya peluang dan kepercayaan yang diperlukan untuk peranan baharu ini. 

 

"Saya benar-benar percaya teras usaha syarikat dan Malaysia sentiasa bersedia untuk transformasi digital dalam kedua-dua sektor iaitu kerajaan dan swasta melalui kerjasama yang berkesan untuk manfaat rakyat.

 

"Fokus saya adalah untuk meningkatkan tahap syarikat ke peringkat lebih tinggi dan merangka asas baharu untuk pemegang saham serta keuntungan syarikat," katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Tun Zaki pula berkata, Ahmad Nazri adalah seorang individu yang berkebolehan dan membawa bersamanya pelbagai ilmu dan pengalaman. 

 

Katanya, tempoh beliau (Ahmad Nazri) sebagai pengerusi baharu pastinya akan memberi manfaat kepada syarikat kerana sudah tiba masanya untuk mula melaksanakan semua rancangan yang kami ada untuk pertumbuhan dan keuntungan. 

 

"Peranan saya adalah untuk mengemudi syarikat melalui peralihan untuk pelupusan pemilikan dan pegangan asing Sinotop Holdings Bhd dan mewujudkan asas bagi salah sebuah syarikat teknologi yang paling pesat berkembang dan inovatif di Malaysia. 

 

"Untuk fasa seterusnya evolusi Pertama Digital, saya menyerahkan baton kepada Ahmad Nazri untuk mempercepatkan model perniagaan kami secara lebih pesat. Malaysia benar-benar memerlukan kisah kejayaan ekonomi, dan Pertama Digital menyasarkan untuk mencapainya dalam bahagian ruang teknologi digital awam," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, seorang individu yang berkaliber dan terbilang di Malaysia seperti Ahmad Nazri akan membawa manfaat dan membuka peluang baharu untuk Pertama Digital. 

 

"Kami teruja dengan perubahan yang berlaku di syarikat sambil kami bersiap sedia untuk lebih banyak penembusan dalam landskap ekonomi dan digital tempatan dan seterusnya. 

 

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Zaki atas sumbangan beliau selama ini dan mendoakan yang terbaik untuk beliau. Kami berada di sini hari ini kerana tumpuan, usaha dan keazaman Tun Zaki, yang mana kami amat bersyukur. 

 

"Kami juga bersyukur kerana Tun Zaki akan terus mengekalkan kehadirannya dalam Lembaga Pengarah, memberi nasihat mengenai perkara kritikal berkaitan tadbir urus korporat, pematuhan dan strategi. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha baharunya sebagai Ketua Hakim Mahkamah Komersial Dubai," katanya. - DagangNews.com