Dayang Enterprise diramal catat pertumbuhan kukuh dalam segmen penyelenggaraan industri huluan disokong prospek pasaran positif | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise diramal catat pertumbuhan kukuh dalam segmen penyelenggaraan industri huluan disokong prospek pasaran positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Dayang Enterprise Holdings Berhad diramal mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam segmen penyelenggaraan bagi industri huluan disokong kejayaan kontrak sebelum ini serta keadaan pasaran yang menggalakkan.

 

Kenanga Research berkata, prospek positif kumpulan itu didorong kedudukan kukuh mereka dalam sektor penyelenggaraan dan potensinya untuk mendapatkan kontrak utama, termasuk kemungkinan perjanjian jangka panjang dengan Petronas.

 

Katanya, tinjauan positif terhadap kumpulan itu juga didorong panduannya mengenai margin kukuh daripada kontrak sedia ada dan jangkaan bidaan baharu untuk perkhidmatan sambungan dan pentauliahan (HUC).

 

"Kumpulan itu menjangkakan inisiatif itu akan memacu margin ke arah yang lebih baik berbanding kitaran sebelumnya, meletakkan mereka pada kedudukan yang baik untuk keuntungan yang mampan dalam sektor penyelenggaraan huluan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya, kumpulan itu bersedia menerima manfaat daripada peningkatan pekerjaan HUC dan kerja-kerja penyelenggaraan bahagian atas pada FY24-FY25 berdasarkan rekod prestasi projek mereka yang kukuh.

 

Katanya, bahagian marinnya dijangka mencatatkan pertumbuhan pendapatan ketara didorong ledakan dalam pasaran kapal sokongan luar pesisir (OSV) tempatan dengan, dengan lapan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS), enam kapal penginapan kerja penginapan dan tiga bot kerja penginapan. 

 

Kapal AHTS kumpulan itu memperoleh kadar sewa harian (DCR) sebanyak RM60,000, manakala bot kerja penginapannya boleh meraih sehingga RM100,000.

 

"Kami menyemak naik unjuran untung bersih FY24 kumpulan sebanyak 66% selepas mengambil kira buku pesanan penyelenggaraan HUC yang lebih tinggi serta DCR yang lebih baik untuk bahagian marinnya.

 

"Bagi FY24-FY25, kami mengandaikan purata DCR sebanyak RM89,200 hingga RM101,400 untuk kapal kerja dan RM56,250 hingga RM66,500 untuk kapal AHTS," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.31 sesaham.- DagangNews.com