Dayang miliki kuasa rundingan lebih baik untuk kontrak baharu - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Dayang miliki kuasa rundingan lebih baik untuk kontrak baharu - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Dayang Enterprise Holdings Berhad memiliki kuasa rundingan yang lebih baik bagi kontrak baharu kapal milik mereka seperti Dayang Nilam dan Dayang Pertama kesan daripada pasaran perkapalan yang ketat.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, segmen perkhidmatan penyelenggaraan belah atas luar pesisir (TMS) dilihat kekal sebagai pemacu pendapatan utama dengan kadar tempahan projek semasa berjumlah RM1.4 bilion.

 

"Kami menjangkakan lebih banyak kontrak akan mempunyai semakan menaik berdasarkan keperluan aktiviti yang lebih tinggi untuk penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih kontrak daripada Petronas Carigali untuk penyediaan satu kapal tongkang kerja penginapan (AWB) untuk kapal Dayang Berlian.

 

Firma itu berkata, ia adalah yang keempat selepas ia memperoleh tiga kontrak pada Februari 2023 untuk kapalnya yang lain, Dayang Zamrud, Dayang Opal dan Dayang Ruby.

 

Katanya, kontrak yang diberikan kepada Dayang Berlian adalah untuk tempoh 207 hari berkuat kuasa mulai 17 Februari 2023 dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga 90 hari (11 Disember 2023), meliputi tempoh bukan tengkujuh.

 

Firma itu berkata, walaupun nilai kontrak tidak didedahkan kerana ia berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan, firma itu menganggarkan DCR berjulat antara RM70,000 hingga RM90,000, sama seperti kontrak sebelumnya yang diumumkan pada Februari 2023.

 

"Ini menjadikan anggaran nilai kontrak antara RM14.5 juta dan RM26.7 juta.

 

"Termasuk kontrak ini, Dayang kini mempunyai empat kontrak dengan Petronas Carigali, yang mewakili 100% daripada anggaran keperluan bot kerja dalam Prospek Aktiviti Petronas (PAO) baru-baru ini untuk FY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.74 sesaham. - DagangNews.com