DC Healthcare catat kerugian bersih RM7.9 juta pada 1QFY24 kesan permintaan rendah dalam perkhidmatan estetik | DagangNews Skip to main content

DC Healthcare catat kerugian bersih RM7.9 juta pada 1QFY24 kesan permintaan rendah dalam perkhidmatan estetik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - DC Healthcare mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding untung bersih RM2.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan permintaan yang lebih rendah dalam perkhidmatan estetik.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga susut kepada RM9.5 juta berbanding RM16.8 juta pada tahun sebelumnya.

 

DC Heathcare berkata, mereka kekal komited terhadap perniagaan terasnya dan menyasarkan untuk memanfaatkan pertumbuhan dalam industri perubatan estetik dan menubuhkan klinik estetik baharu di wilayah selatan dan utara.

 

"Bagi menyokong perkembangan itu, kami berhasrat untuk mengukuhkan kehadiran doktor perubatan, perunding klinik dan kakitangan sokongan dengan menarik kakitangan berkemahiran tinggi dan berpengalaman," katanya.

 

DC Healthcare mengaitkan pendapatan yang lemah pada suku berkenaan dengan peningkatanperbelanjaan pentadbirannya, kira-kira RM6.07 juta, disebabkan peningkatan kos pemasaran sebanyak RM1.67 juta. 

 

Katanya, kos itu adalah sejajar dengan pengembangan cawangan estetik syarikat, daripada 10 cawangan pada 1QFY23 kepada 16 cawangan pada 1QFY24. 

 

"Kami juga memperkenalkan produk baharu di bawah jenama “Ten Doctors” dan membuka tiga cawangan baharu yang mengkhusus dalam perkhidmatan pelangsingan badan," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu merancang untuk terus meningkatkan teknologi peralatan perubatan kepada yang terkinibagi meningkatkan penawaran perkhidmatan serta menyokong rancangan pengembangan mereka.

 

Kumpulan itu percaya bahawa prospeknya dalam industri perkhidmatan estetik perubatan adalah menguntungkan memandangkan kekuatan daya saingnya dalam industri itu.- DagangNews.com