Open DC, Campana Group kukuhkan keterhubungan serantau menerusi infrastruktur kabel dasar laut dan darat | DagangNews Skip to main content

Open DC, Campana Group kukuhkan keterhubungan serantau menerusi infrastruktur kabel dasar laut dan darat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Nov - Open DC Sdn Bhd (Open DC) dan Campana Group (Campana) mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kadar keterhubungan serantau dan pertumbuhan digital di Asia Tenggara. 

 

MoU tersebut menggariskan rancangan Campana untuk menempatkan kabel dasar laut di Stesen Pendaratan Kabel Satun (CLS) di Thailand dan menghubungkannya menerusi kabel darat ke pusat data D8-1 yang diurus dan dimiliki oleh Open DC di Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan, Malaysia.

 

Kerjasama berkenaan menjadi penanda kepada pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi antara Thailand dan Malaysia. 

 

Sambungan berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai itu dijangka memacu pertumbuhan digital serantau dan mengukuhkan keutuhan rangkaian bagi sektor perniagaan dan pengguna di kedua-dua negara.

 

D8-1 yang terletak hanya dua kilometer dari sempadan Thailand adalah pusat data Tahap Tiga di wilayah utara Malaysia. 

 

Lokasi yang strategik dan infrastruktur yang canggih menjadikan D8-1 hab yang penting untuk keterhubungan rentas sempadan dengan menawarkan kadar kelajuan pemindahan data yang lebih unggul dan diyakini. 

 

Penyambungan kabel Campana ke pusat data D8-1 akan memainkan peranan penting dalam menguruskan peningkatan trafik data dan mengoptimumkan prestasi perkhidmatan digital di rantau ini.

 

Pengarah Urusan Open DC, Weng-Yew Wong berkata, penempatan sistem kabel darat dan dasar laut itu dijangka menghasilkan pelbagai manfaat kepada sektor perniagaan di Asia Tenggara. 

 

"Keupayaan rangkaian yang lebih unggul, termasuk kadar kelajuan yang lebih tinggi dan pengurangan tempoh gendala, akan menyokong pelbagai aplikasi daripada pengkomputeran awan sehingga kepada pertukaran data. 

 

"Infrastruktur yang dipertingkatkan ini bukan sahaja akan mengukuhkan keterhubungan antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga akan membuka ruang baharu bagi sektor perniagaan serantau untuk mengembangkan jejak digital dan meningkatkan kadar kecekapan operasi mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Campana Group, Dr Myo Ohn berkata, kerjasama dengan Open DC adalah langkah penting dalam mengukuhkan asas digital rantau Asia Tenggara. 

 

"Penempatan kabel bawah laut kami di Satun dan sambungannya ke D8-1 akan memastikan sektor perniagaan dan pengguna mendapat manfaat daripada infrastruktur rangkaian berkelajuan tinggi yang lebih kukuh, di samping memperkasakan peluang inovasi dan pertumbuhan," ujarnya.

 

Projek tersebut dijangka menghasilkan impak ketara kepada landskap telekomunikasi di Asia Tenggara, mengukuhkan keterhubungan digital rentas sempadan dan meningkatkan akses sektor perniagaan Malaysia ke pasaran antarabangsa. 

 

Kerjasama Open DC dan Campana itu pada akhirnya akan memangkin transformasi digital serantau di samping melonjakkan daya saing keseluruhan rantau ini dalam pasaran ekonomi digital global. - DagangNews.com