KUALA LUMPUR 25 Nov - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan teras Synergy House Bhd sebanyak 3.5% pada FY24 kesan kos operasi yang lebih tinggi terutama perbelanjaan tenaga kerja dan pengangkutan.
Katanya, bagi FY25, mereka mengekalkan unjuran pendapatan, menjangkakan pemulihan margin daripada kadar tambang yang lemah dan kecekapan kos yang lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan memberi panduan, kumpulan itu kekal dalam peringkat pertumbuhannya, memfokuskan pada pengembangan jangka panjang walaupun tekanan keuntungan jangka pendek
"Kami kekal positif terhadap prospek Synergy House didorong pengembangan kepada produk segmen harga yang lebih tinggi pada platform e-dagang perniagaan kepada pengguna (B2C).
"Kos tenaga kerja dijangka stabil bermula FY25 apabila ia menghampiri jumlah sasarannya.
"Ditambah dengan jualan akhir tahun yang lebih kukuh dan jangkaan kecekapan operasi yang bertambah baik dalam FY25, kami percaya kumpulan kekal sebagai peluang pelaburan yang menarik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencapai rekod hasil tertinggi sebanyak RM114 juta, didorong kenaikan 56.2% dalam segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan 78.5% dalam segmen B2C, menjadikan hasil 9M2FY4 kepada RM275 juta.
Keuntungan teras untuk suku tersebut sedikit di bawah jangkaan RM7.4 juta, dengan keuntungan teras 9MFY24 pada RM21.1 juta.
RHB Investment berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan hasil, syarikat menumpukan pada pengembangan berterusannya ke dalam platform dan negara baharu sambil mempelbagaikan penawaran produknya.
Katanya, mengenai pengurusan kos, kumpulan itu akan mengawal kos bahan mentahnya dan terus merundingkan kadar pengangkutan tetap untuk 2025 untuk menstabilkan perbelanjaan logistik.
Sementara itu, kos tenaga manusia juga dijangka stabil apabila ia menghampiri jumlah sasaran 250.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham," katanya.- DagangNews.com