Defisit bajet Malaysia diunjur mengecil pada 2023, kata Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Defisit bajet Malaysia diunjur mengecil pada 2023, kata Fitch Solutions

KUALA LUMPUR 28 Feb - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research telah menurunkan unjuran defisit bajet 2023 Malaysia sebagai bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.9%, daripada 5.3% sebelumnya, yang agak sejajar dengan unjuran fiskal kerajaan.

 

Dalam laporan terbaharu, firma itu berkata ia kini menjangkakan pendapatan akan datang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya pada 2023, selepas kutipan hasil melonjak sebanyak 25.9% pada 2022.

 

Fitch Solutions berkata bajet itu mengembang secara keseluruhan, dengan kerajaan mengumumkan beberapa langkah untuk menurunkan kos sara hidup di tengah-tengah inflasi yang tinggi, serta cukai yang lebih progresif.

 

“Secara umum, kami telah menyelaraskan ramalan hasil dan perbelanjaan kami dengan unjuran kerajaan buat masa ini,” katanya.

 

 

irsyad

 

 

Fitch Solutions berkata dari segi hasil, kerajaan menjangkakan penurunan kira-kira 1.0% kepada RM291.5 bilion pada 2023, berbanding anggaran disemak sebanyak RM294.4 bilion pada 2022.

 

“Ini sebahagiannya disebabkan pengurangan 2.0 mata peratusan (pp) kadar cukai pendapatan individu bagi penduduk M40, yang berpendapatan antara RM35,000 dan RM100,000 setahun.

 

“Untuk mengimbangi sebahagiannya, cukai pendapatan dalam kalangan individu berpendapatan tinggi akan dinaikkan antara 0.5(pp)-2.0pp, manakala kerajaan juga akan memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini,” katanya.

 

Firma itu berkata dari segi perbelanjaan, kerajaan mengunjurkan penurunan kecil 1.2% dalam perbelanjaan mengurus kepada RM289.1 bilion pada 2023, tetapi perbelanjaan pembangunan bersih dijangka meningkat kira-kira 37% kepada RM96.3 bilion, berbanding RM70. 2 bilion pada 2022.

 

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, jumlah perbelanjaan (bersih dengan perolehan semula pinjaman) diunjurkan menurun daripada anggaran disemak sebanyak RM393.8 bilion kepada RM385.4 bilion, terutamanya disebabkan penjimatan daripada pemansuhan dana COVID-19,” kata Fitch Solution. - DagangNews.com