DEFTECH, MILDEF intai peluang dapatkan kontrak RM100 juta naik taraf kenderaan perisai ACV-300 Adnan | DagangNews Skip to main content

DEFTECH, MILDEF intai peluang dapatkan kontrak RM100 juta naik taraf kenderaan perisai ACV-300 Adnan

Prototaip ACV-300 Adnan yang dinaik taraf oleh DEFTECH dipamerkan semasa DSA 2024.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sekurang-kurangnya dua syarikat tempatan mengintai peluang untuk mendapatkan kontrak naik taraf memanjangkan jangka hayat (SLEP) kenderaan perisai tempur ACV-300 Adnan milik Tentera Darat.

 

ACV-300 Adnan juga merupakan tunjang belakang kekuatan pasukan armor dan mekanise Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Dua syarikat tersebut ialah DRB-HICOM Defense Technologies (DEFTECH) danl Mildef International Technologies (Mildef).

 

Tentera Darat perlu melakukan fasa naik taraf ini untuk memanjangkan jangka hayat kenderaan perisai yang dibeli pada tahun 2002.

 

Adnan
Kenderaan ACV-300 Adnan dengan corak celoreng harimau kumbang semasa dibeli pada tahun 2002.

 

Walaupun kos sebenar kerja-kerja tersebut tidak diketahui tetapi ia dianggarkan antara RM100 hingga RM120 juta.

 

ACV-300 Adnan dibina oleh DEFTECH secara usahasama dengan firma FNSS Savunma Sistemleri A.Ş dari Turkiye kira-kira 20 tahun lalu.

 

DEFTECH dan MILDEF masing-masing mempamerkan kenderaan prototaip ACV-300 Adnan yang dinaik taraf semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

 

Antara ciri-ciri pada prototaip yang dipamerkan DEFTECH ialah penggantian turet baharu yang disepadankan dengan meriam kaliber 25mm sebagai senjata utama.

 

Adnan
Prototaip ACV-300 Adnan DEFTECH.

 

Adnan

 

Penambahbaikan lain termasuk penambahan penjejak jarak laser dan pengimejan terma pada turet, sistem amaran laser dan sistem pengawasan pada kenderaan.

 

Difahamkan Tentera Darat telah menguji kenderaan yang dinaik taraf ini dan melepasi penilaian baik.

 

Sumber DEFTECH sebelum ini memberitahu, pihaknya sedang menunggu fasa selanjutnya daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk tawaran kontrak.

 

MILDEF pula mempamerkan varian naik taraf Adnan yang dikenali sebagai ACV-300 Adnan Gen 2 sejak DSA 2022 dan sekali lagi pada DSA 2024.

 

Antara yang dinaik taraf ialah enjin, suspensi kenderaan, sistem transmisi dan keseluruhan sistem elektronik kenderaan berkenaan.

 

Adnan
MILDEF turut mempamerkan prototaip naik taraf ACV-300 Adnan pada DSA 2024.

 

Adnan

 

Prototaip MILDEF menawarkan pilihan turet menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur.

 

Pihak MILDEF juga memaklumkan bahawa prototaip itu dibuat berdasarkan ciri-ciri yang dikehendaki oleh Tentera Darat.

 

Kerajaan dua tahun lalu telah memberi lampu hijau bagi program SLEP ACV-300 Adnan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

 

Fasa pertama melibatkan 60 buah kenderaan Adnan yang akan dinaik taraf.

 

Adnan
Program SLEP bagi memanjangkan jangka hayat kenderaan Adnan agar boleh diguna lebih lama.

 

Tentera Darat membeli sebanyak 211 kenderaan ACV-300 Adnan sebagai kenderaan tempur manakala pembelian tambahan dibuat pada 2010 iaitu 56 kenderaan termasuk 8 dilengkapi mortar TDA 120mm. 

 

Melihat pada jumlah kenderaan Adnan yang banyak maka program SLEP ini dijangka mengambil masa panjang iaitu antara tiga hingga lima tahun.

 

Bagi mempercepatkan kerja-kerja tersebut kebarangkalian Mindef perlu memilih lebih daripada satu syarikat untuk melaksanakan naik taraf ini. - DagangNews.com