DHL Express buka Johor Gateway bernilai RM10.8 juta di Senai Airport City | DagangNews Skip to main content

DHL Express buka Johor Gateway bernilai RM10.8 juta di Senai Airport City

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - DHL Express membuka gudang dengan keluasan 6,000 kaki persegi yang dikenali sebagai Johor Gateway bernilai RM10.8 juta di dalam kawasan Senai Airport City.

 

Pembukaan kemudahan itu akan menyokong perkembangan pesat dagangan Malaysia di wilayah selatan.

 

Johor Gateway dilengkapi sistem penghantar berkelajuan tinggi yang mampu menyusun sehingga 1,900 penghantaran sejam.

 

Kemudahan itu juga menawarkan pemprosesan penghantaran lebih daripada 1,800 bungkusan dan dokumen dari Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Singapura, Jerman, Hong Kong, China dan Jepun.

 

Masa transit yang lebih pantas mendorong peningkatan dalam kualiti perkhidmatan untuk pelanggan di Johor dan Singapura.

 

Naib Presiden Eksekutif Operasi Rangkaian dan Penerbangan di DHL Express Asia Pasifik, Sean Wall berkata, sebagai antara ekonomi yang paling pesat berkembang, Johor kekal sebagai elemen kritikal rangkaian DHL dan Johor Gateway merupakan komitmen mereka dalam meningkatkan kesalinghubungan negara dan komuniti.

 

"Kemudahan baharu kami mampu memenuhi peningkatan permintaan kargo yang didorong oleh prestasi import dan eksport yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemudahan yang diuruskan oleh 135 Pakar Antarabangsa Bertauliah, Johor Gateway direka dengan standard keselamatan tertinggi mengikut garis panduan Persatuan Perlindungan Aset Diangkut (TAPA).

 

Selain kamera digital definisi tinggi yang mengenal pasti dan merakam setiap pergerakan penghantaran, mesin X-ray dan pengesanan kesan letupan (ETD) termaju.

 

Selaras dengan komitmen Deutsche Post DHL Group untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, kemudahan itu dilengkapi dengan panel solar terkini dan infrastruktur cekap tenaga yang mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak anggaran 22%.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, Johor Gateway merupakan bukti bahawa perdagangan global semakin meningkat dan pasaran antarabangsa kekal penting bagi membantu potensi perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat besar.

 

"Dengan kemudahan yang lebih besar dan moden, DHL Express boleh membantu jenama tempatan dengan lebih baik untuk membawa perniagaan mereka dari tempat mereka ke tempat yang mereka mahukan,” katanya.

 

Johor Gateway merupaka antara enam pintu masuk merentasi rangkaian penerbangan dan darat DHL Express Malaysia.

 

Ini termasuk 11 pusat servis, 137 kedai runcit dan pusat servis, 347 kenderaan, 73 penerbangan mingguan, empat pesawat khusus, dan 1,500 pekerja untuk memastikan liputan perkhidmatan yang komprehensif. - DagangNews.com