KUALA LUMPUR 16 Feb - DHL Express memperluas operasi di Malaysia dengan ServicePoint mudah alih baharu di samping menjalinkan kerjasama dengan Parcel365 yang akan menjadi rakan kongsi penghantaran antarabangsa eksklusifnya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan memberitahu, langkah terkini tersebut akan meningkatkan capaian rangkaian tempatannya yang luas merangkumi 146 cawangan runcit dan ServicePoint dalam membantu perniagaan memanfaatkan pasaran global.
Pelanggan boleh jumpa terus bagi menyerahkan bungkusan untuk dihantar ke destinasi Malaysia selain 220 negara dan wilayah yang mempunyai perkhidmatan DHL Express.
“ServicePoint mudah alih itu kini berada di Mont Kiara dan akan kekal di sana sehingga akhir Mac sebelum memberikan perkhidmatan di bandar-bandar di Lembah Klang," katanya, lapor Bernama.
DHL Express berkata, perkongsian dengan Parcel365 memanfaatkan teknologi penyimpanan inovatif untuk melengkapkan pelanggan dengan kemudahan dan keselamatan serahan tanpa sentuh dan ambil sendiri.
“Lokar pintar Parcel365 membolehkan pelanggan mendapatkan dokumen dan bungkusan pada bila-bila masa sepanjang hari serta menyerahkan bungkusan untuk penghantaran ke luar negara melalui DHL Express.
“Ia menempatkan 74 lokar di pejabat dan kediaman bertingkat di seluruh Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Sabah, dengan rancangan untuk menambahkan lagi bilangannya kepada 300 pada separuh pertama 2022,” katanya.
DHL Express berkata, langkah peluasan itu diputuskan pihaknya apabila Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan transaksi e-dagang pada suku kedua 2021 melonjak lebih 36% berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com