Sekadar gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kebanyakan saham dalam sektor pengguna di bawah liputan Kenanga Research seperti Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) masih berdepan cabaran margin.
Jelas penganalisis di Kenanga, Ahmad Ramzani Ramli menjangkakan hasil pemain industri akan bertambah baik seiring permintaan yang meningkat, namun margin mereka bakal menerima tekanan daripada kos input yang melonjak dan caj pengangkutan tidak menentu.
“Kadar ringgit yang tidak baik juga memberi cabaran kerana kebanyakan saham di bawah liputan firma kami merupakan pemain domestik yang bergantung kepada bekalan bahan mentah dan komoditi import.
“Pemain industri tidak mungkin melepaskan beban kos lebih tinggi kepada pengguna kerana ekonomi yang belum kukuh. Kebanyakan saham dengan permodalan pasaran besar di bawah sektor pengguna telah dinilai sepenuhnya, dan cabaran margin masih ada.
“Pilihan utama kami bagi sektor tersebut adalah F&N berdasarkan sekatan yang dilonggarkan dengan aktiviti dan permintaan melonjak pada penghujung tahun ini serta kami melihat jualan yang kukuh dan berterusan bagi pasarannya di Malaysia dan Thailand jelas Ahmad Ramzani dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Katanya lagi, pelaburan F&N di dalam kumpulan Sri Nona juga terbukti berjaya seperti mana dicerminkan oleh keputusan suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) kumpulan, sekali gus menyediakan platform buatnya untuk menembusi segmen makanan halal.
Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor tersebut memandangkan kebanyakan saham pengguna didagangkan pada ‘demanding valuation’ dan tiada pemangkin yang positif dalam masa terdekat ini.
Pasaran pengguna bermula baik pada awal tahun 2021, tetapi secara perlahan-lahan kembali suram ekoran lonjakan semula kes COVID-19 yang seterusnya mencetuskan penguatkuasaan pergerakan lebih ketat.
Pada tempoh separuh pertama tahun 2021 (1H21), Indeks Sentimen Pengguna MIER menunjukkan sentimen yang lemah susulan situasi tersebut.
“Kami menjangkakan sentimen ini akan melonjak semula pada suku keempat 2021 (4Q21) memandangkan tiada lagi negeri berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sekatan dilonggarkan dan lebih banyak akviti ekonomi dibenarkan di bawah Fasa 2 serta seterusnya,” tambah Ahmad Ramzani. - DagangNews.com