Di sebalik prospek cerah Inari, sahamnya antara rugi pagi ini | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prospek cerah Inari, sahamnya antara rugi pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Teknologi 5G dijangka terus memacu prospek pertumbuhan Inari-Amerton Bhd. bagi tahun kewangan seterusnya. 

 

Momentum ini didorong terutamanya menerusi pertumbuhan nilai kandungan frekuensi radio (RF) yang tinggi berikutan kadar penembusan telefon pintar 5G. 

 

Ini menyaksikan CGS-CIMB menyemak naik unjuran pertumbuhan jualan RF kepada 25% dan 12% berbanding sebelum ini 16% dan 10% bagi tahun kewangan 2022 dan 2023. 

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, kumpulan penyelidik industri, Canalys menganggarkan penembusan 5G di seluruh dunia akan berkembang kepada 43% dan 52% pada 2021 dan 2022 berbanding 20% pada 2020. 

 

Pada masa sama, rakan kerjasama mereka di Raymond James juga menjangkakan Apple akan memenuhi penghantaran sebanyak 220 hingga 225 juta iPhone bagi tahun ini dan 2022 berbanding 184 juta pada tahun lalu. 

 

"Inari merancang untuk menambah pengeluaran baharu system-inpackage (SiP) dan peralatan pemprosesn wafer untuk menyokong muatan RF yang tinggi pada suku akan datang.  

 

"Oleh itu, kami melihat, beserta proses baharu ini, seperti lapisan pelindung gangguan elektromagnetik untuk cip RF di dalam telefon pintar 5G, ia akan memacu jualan segmen RF bagi tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Inari dengan harga sasaran yang tinggi pada RM4. 

 

Inari merekodkan untung bersih sebanyak RM88.36 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2021, melonjak 145% berbanding tahun sebelumnya.

 

Pendapatan pula meningkat 54% kepada RM361 juta dipacu oleh jualan kukuh menerusi segmen RF (meningkat 108% tahun ke tahun) menerusi jumlah muatan yang tinggi dan pengembangan kapasiti SiP baharu pada P34.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Inari dengan harga sasaran yang tinggi pada RM4. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, di sebalik hasil tahun kewangan 2021 yang selari dengan unjuran mereka, firma itu menyemak naik untuk pendapatan dan hasil bagi tahun kewangan 2022/2023 masing-masing kepada 1.7%/2.6% dan 1.6%/2.4%.

 

Unjuran ini dibuat berdasarkan jumlah pengeluaran dijangka meningkat didorong permintaan yang kukuh daripada pengguna. 

 

"Tambahan pula, Apple telah meminta pembekalnya meningkatkan pengeluaran bagi iPhone generasi seterusnya sebanyak 20% kerana ia menjangkakan untuk merekodkan jualan kukuh bagi iPhone 13 yang dikeluarkan pada September ini. 

 

"Ini secara tidak langsung mencerminkan keyakinan yang tinggi bagi produk ini sekali gus memberi peluang besar kepada Inari," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Inari dengan harga sasaran RM4.48 berbanding RM3.65 sebelum itu. 

 

Ia menjangkakan prospek kumpulan akan bertambah baik dengan jumlah muatan akan terus meningkat apabila pandemik COVID-19 semakin reda.

 

"Ini terutamanya disumbangkan menerusi segmen RF memandangkan kelebihan Inari sebagai proksi kepada 5G," tambahnya.

 

Bagaimanapun, di sebalik prospek cerah Inari, saham Inari susut 13 sen kepada RM3.47 dengan 8.63 juta saham diniagakan setakat 10.20 pagi ini dan muncul antara 10 kaunter yang mencatat kerugian di Bursa Malaysia. - DagangNews.com