KUALA LUMPUR 10 Jan - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang, Chua Yee Ling, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menggantikan Azrul Shah Mohamad, yang memegang jawatan CEO selama lima tahun mulai Januari 2020 di Tourism Selangor Sdn Bhd, agensi promosi pelancongan rasmi Selangor.
"Lembaga pengarah, pasukan pengurusan dan kakitangan Tourism Selangor mengalu-alukan pelantikan CEO baharu ini, yang mempunyai 17 tahun pengalaman dalam jawatan pengurusan di pelbagai industri.
"Pelantikan ini membawa kepakaran dan kredibiliti yang tinggi kepada Tourism Selangor," menurut Tourism Selangor dalam satu kenyataan.
Jelas agensi itu, berdasarkan pengalaman luas Yee Ling dalam sektor awam dan swasta, Tourism Selangor yakin beliau akan memperkukuhkan kerjasama antara agensi dan kerajaan Selangor.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Pembangunan Industri dan Rangkaian Perniagaan di Tourism Selangor selama empat tahun.
Yee Ling pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan, termasuk pegawai khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang dari 2013 hingga 2018. - DagangNews.com