Dialog MITI 2024 tekan aspek pelaksanaan, kerjasama lebih erat sektor awam-swasta untuk agenda perindustrian semula Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dialog MITI 2024 tekan aspek pelaksanaan, kerjasama lebih erat sektor awam-swasta untuk agenda perindustrian semula Malaysia

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika mempengerusikan Dialog MITI 2024 di ibu negara pada 29 Januari 2024. - Gambar MITI
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Dialog MITI 2024 menekankan aspek pelaksanaan berdisiplin, serta kerjasama lebih erat awam-swasta untuk memastikan agenda perindustrian semula Malaysia, seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) kekal berada di landasannya. 

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, NIMP 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 September tahun lalu, bertindak sebagai batu asas kepada usaha perindustrian semula Malaysia.

 

Katanya, Dialog MITI 2024 yang dipengerusikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu dihadiri hampir 300 peserta terdiri daripada wakil-wakil 103 persatuan industri, dewan perniagaan dan majlis perniagaan serta 24 kementerian/agensi termasuk MITI dan agensi-agensi di bawahnya.

 

"Mesyuarat telah memudah cara pelbagai pertukaran idea dan perbincangan yang dinamik mengenai strategi, rumusan dan pelaksanaan yang lebih kukuh untuk meningkatkan lagi ekosistem industri, perdagangan dan pelaburan Malaysia, berdasarkan NIMP 2030 sebagai dasar yang menyeluruh," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
 

Tengku Zafrul dalam ucapan penutup dialog tersebut mengariskan beberapa isu utama seperti mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui Rangka Kerja ESG Industri Kebangsaan (i-ESG).

 

Beliau berkata, ia termasuk menangani jurang bakat dalam industri pembuatan; menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang disasarkan dan memastikan industri menerapkan penggunaan teknologi baharu secepat mungkin.

 

"Sesuatu dasar hanyalah berkesan jika pelaksanaannya dijalankan dengan betul. Pelaksanaan NIMP adalah penting bagi Malaysia untuk terus meningkatkan daya saing landskap perniagaan dan pelaburan negara.

 

 

MITI

 

 

"Dalam merealisasikan inisiatif ini, MITI pada tahun lepas telah mengumumkan Kad Laporan Suku Tahunan, yang mana MITI berkongsi kemajuan pelbagai dasar di bawah bidang kuasa MITI," katanya.

 

Menurutnya, MITI kini sedang membangunkan papan pemuka untuk NIMP dan indikator utama lainuntuk semua dasar di bawah MITI untuk memudahkan pihak industri dan orang awam memantau kemajuan pelaksanaan dasar-dasar tersebut. 

 

"Dalam tempoh pelaksanan dasar, kita juga perlu berani untuk menyemak sasaran dan menambah baik dasar tersebut jika perlu," katanya.

 

 

miti

 

 

MITI berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima serahan sebanyak 60 memorandum, merangkumi 32 kategori, dan sejumlah 163 isu. 

 

Katanya, ia mencerminkan minat dan komitmen yang mendalam dari pihak industri dan agensi untuk menyumbang kepada penambahbaikan dan pelaksanaan dasar berkaitan industri untuk memajukan lanskap pelaburan dan perdagangan negara.

 

"Para pemimpin industri dan wakil dewan perniagaan juga menyatakan komitmen mereka untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan kerajaan dalam memacu pelaksanaan dasar negara bagi mencapai objektif seperti yang digariskan dalam NIMP 2030.

 

"Dengan semangat kenegaraan (whole-of-nation), MITI berharap untuk terus memperkukuhkan kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk memacu perindustrian semula negara ke arah pemerkasaan ekonomi Malaysia ke peringkat seterusnya," katanya. - DagangNews.com