KUALA LUMPUR 19 Jan - Digistar Corp Berhad menerusi anak syarikatnya, Panorama TV Asia Broadcast Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan MNC Group Indonesia bagi menyediakan TV Internet melalui platform over-the-top (OTT) untuk pasaran hospitaliti dan kediaman Malaysia pada Mei 2023.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, MNC yang merupakan penyedia perkhidmatan penyiaran serta penyedia kandungan terkemuka di Indonesia, akan bekerjasama dengan Panorama bagi memperkenalkan kandungan baharu serta membawa kesedaran tentang budaya dan bahasa yang dikongsi antara kedua-dua negara.
Digistar berkata, Internet TV itu akan menyediakan pelbagai kandungan baharu dalam tiga bahasa utama iaitu Indonesia/Melayu, Inggeris dan Cina.
Pengarah Urusan Digistar, Datuk Lee Wah Chong berkata, menggunakan konsep 'semua boleh menonton', lebih baik dan lebih banyak pilihan, serta kandungan terkini, ia akan menarik lebih ramai penonton dan secara tidak langsung mengurangkan tontonan kandungan tidak sihat dalam talian.
"Sebagai permulaan, kami akan menawarkan 40 saluran dengan harga RM10 dan ke atas," katanya.
Digistar berkata, jalur lebar yang rendah diperlukan untuk penstriman menggunakan teknologi OTT bermakna mereka mempunyai pilihan untuk menyediakan perkhidmatan bayar dan tontonan untuk saluran semasanya, termasuk untuk acara sukan yang disiarkan secara langsung.
Mengenai rancangan masa depan, kumpulan itu menyasarkan untuk bekerjasama dengan MNC untuk memenuhi keperluan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan menyediakan akses kepada saluran hiburan melalui telefon mudah alih pada kos minimum.
"Sistem yang dibangunkan bersama oleh Panorama dan MNC juga mempunyai keupayaan untuk menawarkan langganan Telco untuk dinikmati dalam talian dengan yuran langganan bulanan yang rendah.
"Kami berharap dapat melaksanakan projek ini untuk membantu penyumbang ekonomi kami seperti pekerja Indonesia di Malaysia yang dianggarkan sekitar dua hingga tiga juta," katanya.
Sementara itu, Panorama TV merancang untuk membantu Kementerian Pendidikan dalam menyiarkan secara langsung kurikulum tertentu untuk institusi pendidikan Malaysia.
Mereka percaya ia merupakan idea yang bagus untuk kawasan terpencil untuk mengakses pendidikan secara dalam talian
"Kami juga akan menyediakan satu saluran untuk membantu sektor pertanian mempromosi dan memasarkan hasil harian mereka kerana kos untuk memasarkan produk tani adalah sangat mahal.
"Kami berhasrat untuk menyediakan satu saluran untuk memberi fokus kepada kawasan pelancongan utama di Malaysia.
"Kami juga percaya ia akan menjadi lebih murah apabila kerajaan Malaysia melancarkan 5G dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com