Dilema KLCI untuk dibuka lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Dilema KLCI untuk dibuka lebih tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sesi dagangan di pasaran saham tempatan ketika dibuka pada pagi ini lebih rendah daripada paras yang dibuka pagi semalam. 

 

Harapan untuk indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI untuk menyambung lonjakan ke paras 1,590 ‘tersungkur’ apabila terdapat penjualan lewat petang semalam. 

 

Susulan itu, FBM KLCI hanya mampu menokok 1.34 mata setakat 9 pagi ini untuk mencecah 1,574.67 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,573.33.

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI sekali lagi ‘mengalah’ kepada penjualan lewat dalam saham-saham sarung tangan getah semalam. 

 

“Kami mendapati sentimen kekal rapuh memandangkan pelabur mengekalkan ‘mode’ jangka pendek mereka. 

 

“Bagaimanapun, kami masih berkeras bahawa indeks itu akan melonjak semula untuk menguji paras dalam jajaran 1,580/90 memandangkan minat membeli terhadap saham sarung tangan mungkin kembali selepas berhari-hari menyaksikan penjualan.

 

“Sementara itu, kami menjangkakan saham minyak dan gas akan terus meningkat susulan minyak mentah Brent akhirnya melepasi paras AS$60 setong untuk ditutup pada AS$60.50 di mana rekod tertinggi lebih setahun,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street ditutup pada paras tertinggi baharu memandangkan para pelabur yakin terhadap pemberian pakej rangsangan tidak lama lagi. 

 

Jelas Rakuten Trade, Dow Jones Industrial Average menokok 238 mata untuk menghampiri paras 31,400, manakala kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq masing-masing melonjak 0.7% dan 1.0%.

 

Di peringkat pasaran Asia pula, dagangan bersedia untuk mengekalkan momentum meningkat susulan Wall Street memecah rekod paras baharu. 

 

Ini ekoran perdagangan reflasi yang disebut di seluruh dunia di mana pasaran global meningkatkan saham, mata wang kripto, minyak dan emas sementara hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berada di paras tertinggi sepanjang 11 bulan dan dolar meningkat.

 

Jelas Reuters, terdapat jangkaan untuk inflasi meningkat ketika kerajaan dan bank pusat meneruskan perbelanjaan besar-besaran serta polisi wang mudah. - DagangNews.com