DNeX sempurnakan inisiatif Laluan Makkah bagi jemaah haji di 6 lapangan terbang melibatkan 3 negara | DagangNews Skip to main content

DNeX sempurnakan inisiatif Laluan Makkah bagi jemaah haji di 6 lapangan terbang melibatkan 3 negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menerusi Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) berjaya menyempurnakan pelaksanaan inisiatif Laluan Makkah, Arab Saudi di enam lapangan terbang di tiga negara.

 

Inisiatif itu memperkemas proses haji untuk jemaah yang akan datang dengan memudahkan prosedur pra-pelepasan di negara asal mereka.

 

Ia membolehkan ketibaan yang lebih lancar di Arab Saudi dengan pemindahan terus ke penginapan di Makkah dan Madinah.

 

Pada tahun ini, Dagang Net memperoleh kontrak RM11.5 juta bagi menyokong inisiatif Laluan Makkah yang memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan haji lancar bagi negara yang mengambil bahagian.

 

Syarikat itu memberi tumpuan kepada menyelia kemudahan tapak, peralatan teknikal dan teknologi untuk kawasan sistem pra-pelepasan imigresen yang ditetapkan oleh Arab Saudi dalam enam lokasi untuk operasi haji, iaitu di Malaysia, Indonesia dan Turkiye, melibatkan usaha kerjasama antara DNeX bersama negara-negara itu.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya memahami kepentingan haji bagi umat Islam di seluruh dunia.

 

"Menyumbang kepada inisiatif seperti Laluan Makkah memberi kami kebanggaan yang sangat besar untuk menyokong perjalanan penting dalam kepercayaan mereka. 

 

"Dengan memperkemaskan proses kemasukan, kami membantu meringankan beberapa cabaran yang dihadapi oleh jemaah haji, membolehkan mereka menumpukan hati dan fikiran sepenuhnya pada pengalaman suci ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga kini, enam lapangan terbang yang terlibat ialah Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) (Malaysia), Lapangan Terbang Soekarno-Hatta (Jakarta-Indonesia), Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda (Surabaya-Indonesia) Lapangan Terbang Adi Soemarmo (solo, Indonesia), Lapangan Terbang Istanbul (Istanbul-Turkiye) dan Lapangan Terbang Ankara-Esenboga (Ankara-Turkiye).

 

Beliau berkata, penglibatan kumpulan itu dalam inisiatif Laluan Makkah telah mencapai kejayaan strategik.

 

Katanya, projek itu bukan sahaja membenarkan DNeX menyumbang kepada tujuan yang bermakna tetapi juga memberikan pengalaman berharga dalam bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dan pihak berkuasa lapangan terbang di Malaysia, Indonesia dan Turkiye serta meluaskan kehadirannya di rantau ini sambil membuka peluang untuk kerjasama masa hadapan. - DagangNews.com