DNeX : SilTerra tandatangani perjanjian AS$400 juta dengan ChipOne | DagangNews Skip to main content

DNeX : SilTerra tandatangani perjanjian AS$400 juta dengan ChipOne

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX dan Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi unit perniagaannya, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pembelian dan pembekalan wafer dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd. bernilai AS$400 juta.

 

ChipOne adalah peneraju litar bersepadu, kawalan sesentuh dan pereka bentuk litar bersepadu pengesan cap jari yang berpangkalan di Beijing, China. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX dan Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, perjanjian itu akan menyaksikan Silterra memiliki jaminan muatan asas wafer beberapa tahun akan datang dan memastikan kadar penggunaan kilang yang tinggi.

 

Katanya, pereka litar bersepadu berusaha untuk menawarkan produk cekap tenaga dan ini sejajar dengan strategi ke arah penjimatan dan kelestarian tenaga.

 

"Oleh itu, mereka mahu menggunakan teknik reka bentuk tenaga pintar dan juga teknologi terkini bagi mencapai objektif ini. 

 

"Dalam masa sama, SilTerra juga akan memanfaatkan proses teknologi yang terbukti, kit reka bentuk faundry dan harta intelek bagi mengoptimumkan produk cekap tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Di bawah perjanjian itu, SilTerra akan membekalkan wafer yang akan digunakan dalam pembuatan peralatan mikrocip kepada ChipOne.

 

Kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam pembangunan produk dan pengeluaran besar-besaran berdasarkan teknologi terkini Bipolar-CMOS-DMOS (BCD).

 

CMOS merujuk kepada Complementary Metal Oxide Semiconductor manakala DMOS pula ialah Double Diffused Metal Oxide Semiconductor.

 

Teknologi BCD adalah salah satu blok utama di bawah platform Teknologi Tenaga Pintar SilTerra yang dibangunkan untuk mengoptimumkan produk cekap tenaga berdasarkan proses teknologi yang terbukti matang, harta intelek dan kit reka bentuk.

 

DNeX baru-baru ini melengkapkan pengambilalihan 60% kepentingan dalam SilTerra dari Khazanah Nasional Berhad dan kini merupakan pemegang saham majoriti. 

 

Malah, DNeX dan rakan kerjasamanya, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund) berhasrat untuk mengembangkan SilTerra sebagai pemain teknologi yang mampu bersaing dalam industri semikonduktor di peringkat global. - DagangNews.com