DS Sigma meterai perjanjian taja jamin dengan Public Bank Investment, jangka penyenaraian di Pasaran ACE pada suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

DS Sigma meterai perjanjian taja jamin dengan Public Bank Investment, jangka penyenaraian di Pasaran ACE pada suku pertama 2023

Tawaran awam permulaan (IPO), DS Sigma Holdings Berhad terdiri daripada terbitan awam sebanyak 91.18 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 38.42 juta saham sedia ada.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Penyedia produk pembungkusan, DS Sigma Holdings Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Berhad bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada suku pertama 2023. 

 

IPO kumpulan itu terdiri daripada 91.18 juta terbitan saham biasa baharu dengan tawaran jualan sebanyak 38.42 juta saham sedia ada.

 

Daripada jumlah itu, 24 juta saham akan disediakan untuk orang awam, 9.8 juta saham untuk pengarah, kakitangan syarikat dan anak syarikat yang berkelayakan serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan manakala 35.80 juta saham akan disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Baki 21.58 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Berdasarkan perjanjian taja jamin itu, Public Bank Investment akan menaja jamin sejumlah 33.80 juta saham yang disediakan untuk orang awam Malaysia, pengarah dan pekerja yang layak, dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Selain menjadi penaja jamin tunggal IPO DS Sigma, Public Bank Investment juga merupakan penasihat utama, penaja dan ejen penempatan tunggal untuk penyenaraian itu.

 

Pengarah Urusan DS Sigma, Lucille Teoh Soo Lien berkata, pihaknya percaya bahawa penyenaraian itu akan meningkatkan profil kumpulan selain membolehkan mereka memanfaatkan pasaran modal yang akan membantu mempercepatkan pertumbuhan syarikat. 

 

Katanya, beliau berhasrat mengembangkan perniagaan ke dalam pasaran baharu dengan mereka merancang untuk meningkatkan pangkalan pelanggan dengan memberi tumpuan kepada industri solar fotovoltaik dan peranti perubatan.

 

"Selain itu, kami akan meningkatkan kapasiti kami melalui pembukaan kilang tambahan di Klang serta operasi perniagaan baharu di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Investment, Lee Yo-Hunn berkata, DS Sigma sudah memulakan strategi untuk meneruskan perkembangan pada masa akan datang.

 

"Kami yakin bahawa pelaksanaan penyenaraian ini akan menjadi platform bagi kumpulan untuk melancarkan fasa seterusnya rancangan pengembangan dan pertumbuhan perniagaannya," katanya.

 

Kumpulan itu dijangka melancarkan prospektus kumpulan pada pertengahan Disember 2022. - DagangNews.com