Dua kontrak baharu diramal beri sumbangan positif kepada IJM sehingga FY26, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Dua kontrak baharu diramal beri sumbangan positif kepada IJM sehingga FY26, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Kejayaan memperoleh dua kontrak baharu di Johor dan Pulau Pinang diramal menyumbang secara positif kepada pendapatan IJM Corp Bhd sehingga FY26.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu dapat memanfaatkan produk cerucuk konkrit khusus daripada bahagian industrinya bagi kedua-dua projek dan keupayaan Smart IBS untuk kilang elektrik an elektronik (E&E) di Pulau Pinang bagi meningkatkan kecekapan pembinaannya. 

 

Katanya, kemenangan dua kontrak baharu itu mengembangkan buku pesanan tertunggak IJM kepada RM7.85 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah mencapai 37% daripada sasaran penambahan semula RM5 bilion untuk FY25. 

 

Projek lain dalam radar kumpulan itu termasuk LRT Pulau Pinang, Laluan Biru Transit Aliran Autonomi (ART) Sarawak, Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) dan Pan Borneo serta bangunan perindustrian lain.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan terus menjadi antara penerima manfaat utama prospek positif sektor pembinaan pada separuh kedua 2024 dan seterusnya ngan lebih banyak aliran pekerjaan awam selain pekerjaan swasta serta projek bangunan industri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IJM Construction peroleh kontrak RM561 juta di Johor, Pulau Pinang

 

Terdahulu, projek-projek itu terdiri daripada pusat data di Johor dan kemudahan pembuatan perindustrian di Pulau Pinang.

 

Kerjasama 50:50 antara Woh Hup Malaysia Sdn Bhd dan IJM Construction dianugerahkan kontrak RM508 juta daripada pemaju pusat data antarabangsa. 

 

Bagi Pulau Pinang, IJM Construction memperoleh kontrak RM307 juta bagi pembinaan kemudahan pembuatan dan pergudangan elektrik dan elektronik (E&E) baharu di Batu Kawan.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.89 sesaham.- DagangNews.com