Dua syarikat di Kamunting labur lebih RM600 juta, tambah peluang kerja | DagangNews Skip to main content

Dua syarikat di Kamunting labur lebih RM600 juta, tambah peluang kerja

Kilang Eco Medi Glove di Kamunting Raya Industrial Estate di Kamunting, Taiping.

 

 

IPOH 4 Okt – Dua syarikat berpangkalan di Kamunting, Taiping iaitu Eco Medi Glove dan Onetexx menambah pelaburan masing-masing bernilai RM300 juta dan RM373.9 juta bagi meningkatkan kapasiti kilang mereka.

 

Eco Medi Glove, merupakan pengeluar sarung tangan getah manakala Onetexx adalah pengeluar barangan plastik dan getah, merupakan antara lima syarikat yang diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pada majlis komitmen pelaburan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bernilai RM2 bilion.

 

Tiga lagi syarikat ialah Dyna Care Sdn. Bhd. (RM1.19 bilion) di Lumut Port Industrial Park; HICOM-Teck See Sdn. Bhd. (RM208 juta) di Tanjung Malim dan PNA Technologies Sdn. Bhd. (RM1.7 juta) di Kampung Gajah.

 

Menurut Datuk Saarani, pelaburan terbaharu kelima-lima syarikat itu akan membuka sebanyak 3,885 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk Perak.

 

Menteri Besar Perak itu berkata demikian pada komitmen pelaburan itu bersama NCIA yang diadakan secara maya hari ini.

 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehhuddin Alyubi Zakaria, dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

 

 

Datuk Saarani Mohamad
Datuk Saarani Mohamad

 

 

Terdahulu, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perak, Saarani berkata, bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik COVID-19, kerajaan negeri akan terus memfokuskan usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi untuk menjana ekonomi, termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Menurutnya, kerajaan negeri menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalan dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040.

 

“Perak perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah, terutamanya sarung tangan.

 

“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri-industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan ke negeri Perak perlu diperluaskan agar negeri ini menjadi destinasi tumpuan pelabur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis komitmen pelaburan itu, di sini. – DagangNews.com