Durian Batu Kurau - keistimewaan dan kaitannya dengan Taiping | DagangNews Skip to main content

Durian Batu Kurau - keistimewaan dan kaitannya dengan Taiping

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

TAIPING, biasanya akan mula sesak dengan kenderaan dari jejambat Kamunting Jaya bila musim perayaan dan musim cuti serta teristimewa, musim buah durian seperti sekarang ini.

 

tepeng
Pasti ramai merindui aktiviti jogging di Lake Garden Taiping waktu-waktu PKP ini.

 

Jika tidak disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, pasti ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu ke Taiping, khusus untuk menjamu buah durian.

 

Durian yang dijual di bandar ini bukan yang datang dari Pahang atau selatan, tetapi Batu Kurau iaitu sebuah mukim dalam daerah Larut Matang, yang hanya kira-kira 23km dari Taiping.

 

Memang ada juga dijual durian luar dari Perak tetapi segelintir sahaja dan harganya tergolong dalam harga kayangan.

 

Daripada segi penjenamaan, Durian Batu Kurau cukup dikenali di seluruh negara. Ada yang akan terus ke pekan Batu Kurau untuk melihat sendiri ladang durian atau mahu membeli pada harga cukup murah terus dengan pemilik pokok.

 

Namun lazimnya, kebanyakan akan ke Taiping sahaja sama ada menginap di rumah keluarga sambil berziarah atau di hotel-hotel yang semakin baik kualitinya sekarang.

 

 

bt kurau

 

 

KEISTIMEWAAN DURIAN BATU KURAU

Merrepak bukan pakar durian, apatah lagi cuaca panas sekarang tidak mengizinkan untuk `melantak’ durian melainkan seulas dua. Yang pasti, durian Batu Kurau tidak dikategorikan sama kelas dengan Musang King dan sebagainya.

 

Bagi sesetengah orang, durian Musang King akan menyebabkan cepat muak disebabkan kemanisan dan ketebalan isinya. Tapi ramai yang sanggup membayar sehingga RM90 sekilo.

 

Durian Batu Kurau ini sebaliknya, memiliki gred tersendiri mengikut saiz dan isi. Untuk anda yang belum biasa dengan Durian Batu Kurau, anda kena cari kelas `durian tukugho’ sebagaimana ia disebut oleh penduduk tempatan.

 

Bagaimana hendak tahu mana Tukugho? Petuanya mudah. Baunya lebih kuat dari yang lain. Sebab itu kita tengok ada orang begitu cerewet sanggup `mencium’ durian. Kita pula hairan bila orang mendekatkan hidungnya kepada duri-duri buah durian. Tetapi itulah yang dicari. Ada bau kuat atau tak!

 

Mengikut petua penjual, buah durian Tukugho boleh dihidu dari jauh lagi, jadi tidak perlu guna kaedah imbasan buah durian 1 milimeter ke hidung .

 

Durian Tukugho yang bau kuat, lazimnya memiliki isi yang rasa lemak manis dan bila memakannya, memang rasa puas.

 

bt kurau
Ini rupanya durian Tukugho. 

 

 

Kalau pergi Batu Kurau, jangan tulis nama atas batu

Tajuk di atas lebih kepada menyakat daripada lagu Sudirman... Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu...

 

Jadi kalau anda tidak puas berjamu durian di Taiping, sambil menikmati kenyamanan Lake Garden atau memanjat Maxwell Hill (Bukit Larut), anda juga boleh terus ke Batu Kurau.

 

Di Batu Kurau ada 22 kampung semuanya. Dan terdapat banyak tempat pengumpulan hasil seperti di Kg Bawah Gunung, Anak Kurau, Sempeneh, Kg Perak dan Ayer Itam. Di situ boleh borong pada harga cukup murah, atau kalau nasib baik, pemilik kebun ajak pungut sendiri buah di kebun.

 

bt kurau
Tempat pengumpulan ladang (PPL) Kg Bawah Gunung di Batu Kurau. - Gambar FB

 

Mengikut laporan, pemilik dusun menjual serendah RM3 sekilogram kepada peraih. Bila sampai di Lembah Klang, harga itu pasti berlipat ganda.

 

Keaslian Durian Batu Kurau

Berbeza dengan durian yang heboh baru-baru ini di Raub, Pahang contohnya, durian Batu Kurau sudah ditanam berpuluh tahun atau semula jadi sudah ada di hutan-hutan yang kemudiannya menjadi milik penduduk kampung di situ.

 

Jadi ia tiada baja booster digunakan, tiada racun serangga atau apa sahaja yang mempercepatkan pengeluaran buahnya. Semua adalah semula jadi dan istimewanya, durian di kawasan ini berbuah dua kali setahun. Ini berkait rapat dengan geografi wilayah ini yang paling tinggi kekerapan hujan berbanding kawasan lain di Semenanjung.

 

Berdasarkan kitaran tanaman durian di Batu Kurau sekarang, durian dijangka kembali berbunga pada bulan Disember depan dan musim durian akan kembali di Batu Kurau pada bulan Jun 2022.

 

Pada musim durian, seseorang pemilik dusun boleh memperoleh 2,000 biji durian sehari yang dibawa turun dari dusunnya yang terletak di kawasan berbukit untuk dijual kepada peraih.

 

 

bt kurau

 

 

Gred A, Gred B

Secara umumnya, sebiji durian gred A mempunyai berat melebihi satu kilogram dengan purata isi kira-kira 12 ulas yang berwarna kuning.

 

Gred B pula dikategorikan berdasarkan saiz yang kecil dengan berat kurang satu kilogram dan isinya berwarna putih selain teksturnya lebih nipis.

 

Cabaran berjual durian semasa PKP

Kalau mengikut common sense, ketika ramai kena duduk di rumah semasa pandemik inilah masa untuk berjamu durian sepuas-puasnya. Mungkin benar. Mungkin juga tidak sangat.

 

Durian sudah mula dipasarkan di Shah Alam sejak awal Jun lalu. Mulanya memang bincang dengan kawan-kawan. Tunggu sikit lagi, tunggu harga dia turun sedikit. Dapatlah RM10-14 sekilo.

 

Lepas makan sekali, maka cukuplah. Tidak ramai kawan-kawan yang bercerita lagi hal durian.

 

Apakah ini antara faktor tiba-tiba semalam ternampak jualan durian serendah RM5 sekilo dan ada juga main jual selonggok plastik besar?
 

 

bt kurau
Iklan dalam WhatsApp menunjukkan harga durian dijual RM5 sekilo di Shah Alam, 24 Julai 2021.

 

Ya lah... duduk rumah tidak dibenarkan keluar, susah juga nak lepaskan gas durian dalam badan.

 

Tetapi bagi anda yang belum lagi mencuba seulas durian, silalah beli sekarang sebab harganya cukup murah.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Empat khasiat durian yang mesti anda tahu

 

Dan sementara menanti PKPD di Selangor beralih ke Fasa 1 (Perak kini di dalam Fasa 2), boleh juga tanya-tanyakan durian Batu Kurau. Nanti sudah dibenarkan bergerak ke luar sempadan negeri, boleh kita bercuti ke Taiping.

 

Moh le kiter, yob...

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Baby Can I Hold You - Tracy Chapman berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.