DXN lengkapkan perjanjian taja jamin dengan tiga bank bagi terbitan IPO di Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

DXN lengkapkan perjanjian taja jamin dengan tiga bank bagi terbitan IPO di Pasaran Utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - DXN Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama Maybank Investment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad and RHB Investment Bank Berhad bersempena dengan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

DXN dan anak syarikatnya (DXN Group) terlibat dalam penjualan produk pengguna berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan. 

 

Mereka mengendalikan rantaian bekalan bersepadu dengan penyelidikan dalaman dan fungsi pembuatan di seluruh Malaysia, China, India, Indonesia serta Mexico dan mempunyai lebih 300 unit penyimpanan stok produk yang dikilangkan sendiri dan diedarkan melalui rangkaian jualan langsung atau cawangan jualannya.

 

Maybank Investment Bank, CIMB Investment Bank dan RHB Investment Bank telah bersetuju untuk menaja jamin penawaran runcit 160 juta saham biasa dalam DXN mewakili kira-kira 3.2% daripada saham biasa terbitan yang diperbesarkan.

 

Sejumlah 60 juta saham runcit dikhaskan untuk pengarah dan kakitangan yang layak, dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan 100 juta lagi dikhaskan untuk permohonan oleh orang awam melalui pengundian.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas, Datuk Lim Siow Jin berkata, majlis itu merupakan peristiwa penting bagi mereka menjelang penyenaraian kumpulan itu di Pasaran Utama.

 

Beliau berkata, sejak mula beroperasi, pihaknya telah mengembangkan kehadiran daripada pasaran Malaysia ke pasaran antarabangsa.

 

"Kami mempunyai jejak pengedaran yang luas merentasi pelbagai rantau global di Eropah, Amerika Latin, Amerika Utara, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Barat, Afrika serta Oceania dan kami sedang mengintai pasaran baharu.

 

"Saya juga ingin berterima kasih kepada Maybank Investment Bank, CIMB Investment Bank dan RHB Investment Bank di atas sokongan mereka," katanya.

 

Maybank Investment Bank merupakan penasihat utama, penyelaras global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin urusan bersama dan penaja jamin bersama untuk IPO.

 

CIMB Investment Bank ialah penyelaran global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin urusan bersama dan penaja jamin bersama.

 

RHB Investment Bank ialah penyelaras bersama dan penaja jamin bersama manakala CLSA Limited dan CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd. ialah penyelaras global bersama dan penyelaras bersama. - DagangNews.com