KUALA LUMPUR 25 Okt - Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) Nova Wellness Group Berhad dijangka meningkat antara 46%-48% pada FY23 berbanding 45% pada FY22.
Kenanga Research berkata, ia disebabkan ketiadaan kos permulaan yang ditanggung oleh pengeluaran komersil kilang baharunya.
"Disokong oleh skala ekonomi yang lebih baik dan kecekapan ditambah dengan hasil tambahan, kilang baharu itu dijangka mempunyai penyerapan kos operasi yang lebih baik dan seterusnya peningkatan margin keuntungan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan sudah menaikkan purata harga jualan (ASP) sebanyak 4% ke 5% sejak enam bulan lalu bagi kesemua produknya.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi menyalurkan sepenuhnya kos yang lebih tinggi kesan daripada kelemahan ringgit (bahan mentah dan pembungkusan yang dibeli dalam denominasi ringgit dan dolar Amerika Syarikat).
"Keadaan ini memberi bayangan bahawa harga permintaan untuk industri tidak stabil.
"Input utama ini merangkumi anggaran 30% daripada jumlah kos. Kami telah memfaktorkan ASP meningkat sebanyak 2% bagi pendapatan FY23 kami," katanya.
Firma itu berkata, kumpulan itu memberi bayangan unjuran pendapatan yang tinggi bagi FY23.
Ini didorong oleh trend peningkatan populasi yang mengambil suplemen kesihatan untuk pertahanan yang lebih baik terhadap penyakit berjangkit, rangkaian pengedarannya yang meluas dan kadar penembusan ke hospital awam tempatan.
"Kami juga selesa dengan keupayaannya untuk mengeluarkan kos yang lebih tinggi dan seterusnya mengekalkan margin keuntungan.
"Kami mengekalkan sasaran 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.09," katanya. - DagangNews.com