Eco World International fokus penjualan projek perumahan yang tidak terjual - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Eco World International fokus penjualan projek perumahan yang tidak terjual - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Eco World International Berhad akan memberi fokus untuk menjual projek perumahan yang tidak terjual dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.8 bilion antara 2023 dan 2024.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, memandangkan kumpulan itu sudah mengetepikan modal kerja untuk baki projek, firma itu menjangkakan mereka akan memberikan agihan khas.

 

Katanya, agihan itu akan diberikan sekiranya kumpulan itu berjaya menjual baki hartanah yang tidak terjual bernilai RM400 juta (RM210 juta atas kepentingan berkesan dan tidak termasuk lot runcit) pada FY24 jika tiada bank tanah baru diperoleh.

 

"Walaupun kumpulan itu akan kekal mengalami kerugian dalam jangka sederhana kerana ia tidak melancarkan sebarang projek baharu, ini tidak akan menjejaskan keupayaannya untuk memberikan dviden khas.

 

"Tunai bersih kumpulan itu adalah berjumlah 7.9sen sesaham pada Januari 2023.

 

"Agihan khas juga berpotensi hadir daripada penjualan tanah yang boleh meningkatkan nilai aset kumpulan itu dengan pantas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pengurusan mengekalkan komitmennya untuk memberikan ganjaran kepada pemegang saham dengan pengagihan khas sebanyak RM900 juta (37.5sen sesaham atau 73% daripada harga saham) pada akhir 2023 selepas melaporkan jualan yang baik dalam 4MFY23 (RM524 juta termasuk tempahan).

 

"Walaupun ia gagal mencapai sasaran jualan pada FY23, kumpulan itu masih mengekalkan komitmennya untuk baki agihan khas pada tahun berikutnya," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 66 sen sesaham. - DagangNews.com