Econpile diramal terus catat kerugian pada FY24, cipta keuntungan semula pada FY25 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Econpile diramal terus catat kerugian pada FY24, cipta keuntungan semula pada FY25 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Econpile Holdings Bhd diramal terus mencatatkan kerugian pada FY24 dan hanya mula mencatatkan keuntungan bermula FY25 dengan operasinya menjadi semakin cekap.

 

AmInvestment Bank Bhd berkata, ketika ini terdapat 19 projek sedang dilaksanakan dan berada pada pelbagai peringkat dan kontrak terakhir dengan margin rendah yang dimeterai semasa pandemik akan berakhir pada Disember 2024.

 

Katanya, pengurusan yakin kumpulan itu akan kembali untung bermula FY25 kerana operasinya kini semakin cekap disokong oleh jumlah tenaga kerja yang mencukupi, jentera dan kontrak baharu yang memberikan hasil yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, margin keuntungan kumpulan adalah di tahap pra pandemik kerana kerja pembinaan masih kerja pembinaan masih kekurangan bekalan dan semua pihak membuat bidaan secara kompetitif. 

 

"Rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini menyebabkan kenaikan 5% dalam harga simen,dan pihak pengurusan berpendapat akan ada peningkatan selanjutnya.

 

"Bagaimanapun, kami menyemak naik pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan masing-masing sebanyak 92% dan 66%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini,

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga sedang membida tiga projek pusat data tetapi pada skala kecil dalam julat antara RM30 hingga RM60 juta.

 

"Pihak pengurusan berharap kerajaan segera melancarkan projek infrastruktur mega seperti MRT3, LRT Pulau Pinang dan LRT Johor bagi membantu melonjakkan pendapatan kumpulan itu dalam jangka sederhana," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) 42 sen sesaham. - DagangNews.com