Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang walaupun berdepan risiko kemelesetan AS - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang walaupun berdepan risiko kemelesetan AS - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ekonomi Malaysia berada di landasan betul walaupun berdepan risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

"Ekonomi sebenar adalah yang paling penting. Sebab itu kita melihat kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan Malaysia sememangnya kukuh.

 

“Kita berada di landasan yang betul dan akan terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Inspire 2024 Kumpulan Wang Persaraan Inc. (KWAP) hari ini.

 

Beliau menjawab soalan mengenai potensi kesan kemelesetan AS terhadap ekonomi negara.

 

Amir Hamzah berkata, unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) bahawa ekonomi negara akan berkembang sebanyak 5.0 peratus pada separuh pertama 2024 adalah pada tahap tertinggi berbanding jangkaan Kementerian Kewangan 4.0 peratus - 5.0 peratus .

 

“Sebab itulah ringgit mengukuh, bukan sahaja kerana AS mahu mengurangkan kadar faedah tetapi juga kerana dasar baik yang dibangunkan kerajaan.

 

"Kami melihat banyak perkembangan positif. Tahap keyakinan juga semakin meningkat," jelasnya.

 

Beliau juga menyifatkan kejatuhan pasaran saham global semalam berikutan pembetulan berlebihan sebagai sementara, dengan prestasi Bursa Malaysia mencatatkan pemulihan hari ini.

 

“Ia berlaku di seluruh dunia kerana beberapa peristiwa berlaku, seperti unjuran kadar pengangguran AS yang sedikit lebih tinggi, menyebabkan kejatuhan keyakinan.

 

"Terdapat juga jangkaan AS akan mengurangkan kadar faedah. Kami melihat terdapat kedudukan dagangan yang diambil, justeru pasaran turun kerana penyelesaian yang berlaku," jelasnya. - DagangNews.com