KUALA LUMPUR 1 Ogos - MIDF Research mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan kukuh melebihi 4.7% pada tahun ini.
Memandangkan momentum pertumbuhan lebih baik, firma penyelidikan itu yakin pertumbuhan ekonomi negara akan kembali ke paras melebihi 4% dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 sedia ada pada 4.7% melebihi 3.6% pada tahun lalu.
Katanya, dengan mengambil kira anggaran pendahuluan KDNK pada suku kedua tahun ini yang lebih kukuh daripada jangkaan, mereka melihat risiko menaik kepada ramalan tahun ini dengan ekonomi Malaysia boleh mencapai perkembangan pada paras 5%.
"Kami percaya momentum positif yang berterusan akan disokong oleh peningkatan perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan yang lebih menggalakkan, di samping pemulihan perdagangan luar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pelopor naik 3.8% pada Mei 2024, gambarkan ekonomi Malaysia berdaya tahan - DOSM
Terdahulu, peningkatan Indeks Pelopor (IP) disokong kenaikan kukuh dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (31.8%), diikuti oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (20.6%). Melihat kepada prestasi bulanan, IP juga meningkat sebanyak 0.8 peratus disumbangkan terutamanya oleh Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.5%).
Kadar pertumbuhan IP terlicin pada Mei 2024 kekal konsisten melebihi 100.0 mata, mencerminkan ekonomi yang berdaya tahan disokong oleh peningkatan aktiviti perlancongan dan permintaan luar yang memberangsangkan
Bagaimanapun, MIDF Research kekal berhati-hati dengan prospek pertumbuhan yang mungkin dikekang oleh oleh inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan kesan pelarasan subsidi selanjutnya serta risiko pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi utama (terutamanya China dan Amerika Syarikat).
Selain itu, aktiviti perdagangan dan pengeluaran luar Malaysia boleh terjejas secara negatif oleh potensi gangguan kepada aliran perdagangan global di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berterusan. - DagangNews.com