Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada kadar 4.9% dipacu perkembangan sektor swasta, kata AmBank | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada kadar 4.9% dipacu perkembangan sektor swasta, kata AmBank

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada adar 4.9 peratus tahun ini dipacu perkembangan sektor swasta. Gambar Naim Aziz DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada kadar 4.9% tahun ini, kata AmBank Economic Research. 

 

Katanya, sektor swasta domestik merupakan tunjang utama ekonomi, dirangsang oleh peningkatan dalam pasaran buruh kerana data terkini mendedahkan, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) melonjak ke rekod tertinggi baharu sebanyak 70.4% setakat Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan dua suku tahun yang akan datang tahun ini akan mencatat pertumbuhan positif, memandangkan kesan asas yang rendah tahun lepas dan prospek perdagangan yang lebih baik.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan purata sebanyak 4.9% tahun ini berbanding unjuran awal sebanyak 4.5%.

 

"Walaupun sektor eksport lemah pada 2023 tetapi ia dipercayai akan menyumbang kepada pertumbuhan dinamik pada bulan-bulan akan datang berikutan pemulihan dalam kitaran menaik semikonduktor global apabila ia mencatatkan penigkatan purata sebanyak 16.7% pada separuh pertama tahun ini.

 

"Ia seterusnya akan meningkatkan prospek pertumbuhan Malaysia, khususnya untuk eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang akhirnya akan naik semula kepada 2.1% pada suku kedua 2024 selepas berada dalam aliran menurun untuk empat suku tahun sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
 

AmBank berkata, walaupun kedua-dua dasar fiskal dan monetari akan kekal menyokong ekonomi, mereka tidak menolak kemungkinan beberapa risiko penurunan utama, termasuk permintaan pemulihan luar yang lebih rendah daripada jangkaan berikutan peningkatan berterusan konflik Asia Barat dan pemulihan kelembapan di China, serta pertumbuhan yang sederhana dalam ekonomi maju.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan inflasi Malaysia yang lemah dan kadar pengangguran yang mendatar, mereka berpendapat, kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada 3.00% pada separuh kedua 2024.

 

"Kami menyemak turun unjuran inflasi FY24 daripada 3.0% kepada 2.1%," katanya.

 

Sementara itu,bank penyelidikan itu berkata, walaupun garis masa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 masih belum diketahui, tetapi mereka menjangkakan ia akan diteruskan tahun ini memandangkan persekitaran inflasi yang rendah pada masa ini dan sasaran defisit fiskal kerajaan sebanyak 4.3%.

 

Berdasarkan kepada pengiraan, harga runcit RON95 akan melonjak antara RM3.25 hingga RM3.28 seliter.

 

"Jika ini berlaku, kami menjangkakan pemberian wang tunai yang banyak kepada peratusan besar penduduk untuk menukar beban perbelanjaan daripada subsidi langsung kepada bantuan sosial," katanya.- DagangNews.com