Ekosistem teknologi startup di Kuala Lumpur jana nilai lebih RM220 bilion dalam tempoh 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Ekosistem teknologi startup di Kuala Lumpur jana nilai lebih RM220 bilion dalam tempoh 3 tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Ekosistem syarikat pemula (startup) Kuala Lumpur telah mendapat perhatian dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024 baru-baru ini di mana bandar ini telah ditempatkan dalam kedudukan 30 terbaik bagi ekosistem membangun. 

 

Menurut laporan tersebut, pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan Kuala Lumpur yang pesat dan impak ekonomi yang berskala tinggi.

 

Bermula 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2023, Kuala Lumpur telah menjana Nilai Ekosistem lebih daripada RM220 bilion (AS$47 bilion). 

 

Nilai ekosistem merupakan kayu ukur bagi impak ekonomi oleh sesebuah bandar melalui nilai peluang keluar (exit) dan penilaian syarikat pemula.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, nilai ekosistem dan pencapaian Kuala Lumpur ini membuktikan tumpuan negara dalam melabur dan membangunkan ekosistem syarikat pemula teknologi. 

 

cradle
Chang Lih Kang

 

Beliau mengiktiraf peranan dan impak semua agensi, kementerian, dan organisasi yang terlibat melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup yang baharu dilancarkan. 

 

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus menerajui usaha ini untuk merealisasikan visi kami dalam menjadikan ekosistem syarikat pemula Malaysia dalam kedudukan 20 terbaik menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), sebagai agensi fokal bagi ekosistem syarikat pemula Malaysia, menyatakan perasaan bangga tentang pencapaian itu kerana ia adalah bukti usaha dan inisiatif strategik yang dijalankan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi syarikat pemula. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Malaysia telah mengiktiraf peranan syarikat pemula dalam memacu inovasi tempatan dan kemajuan teknologi. 

 

cradle
Norman Matthieu Vanhaecke

 

"Cradle berusaha untuk menggabungkan sumber dan pengalaman semua pihak berkepentingan dalam ekosistem. Dengan komitmen yang berterusan dalam membentuk sebuah ekosistem yang berprestasi tinggi, inklusif, global, dan mampan, kami akan terus berusaha meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekosistem syarikat pemula di peringkat global," katanya.

 

Dalam laporan GSER 2024, ekosistem Kuala Lumpur juga telah tersenarai antara kumpulan terbaik dalam beberapa bidang utama di Asia:

 

  • Kedudukan 15 terbaik Ekosistem Asia dalam Pendanaan: Pencapaian ini menggambarkan kapasiti inovasi Kuala Lumpur melalui pendanaan peringkat awal yang kukuh dan penyertaan aktif pelabur.

 

  • Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Prestasi: Pencapaian ini mencerminkan saiz dan kejayaan keseluruhan ekosistem, dengan mempertimbangkan nilai kumulatif yang dicipta oleh startup teknologi melalui exit dan pendanaan.

 

  • Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Bakat dan Pengalaman: Kedudukan ini mengiktiraf trend jangka panjang yang kukuh di Kuala Lumpur, menunjukkan kedalaman bakat dan pengalaman dalam ekosistem.

 

  • Kedudukan 25 terbaik Ekosistem Asia dalam akses kepada pemilikan bakat secara kos efektif: Kategori ini mengukur keupayaan Kuala Lumpur dalam menarik bakat teknologi secara kos efektif dan menekankan kelebihan kompetitifnya dalam membina tenaga kerja yang mahir.

 

  • Kedudukan 30 terbaik Ekosistem Asia dalam kategori “Bang for Buck”: Kedudukan ini mengukur jumlah runway yang diperoleh startup teknologi, secara purata, daripada satu pusingan VC.

 

  • Bakat berkualiti dan kemudahan dalam menjalankan perniagaan merupakan antara faktor tarikan bagi startup untuk berpindah ke ekosistem ini.

 

GSER 2024 menganalisis data lebih daripada 4.5 juta syarikat pemula merangkumi 300 ekosistem global serta menyediakan trend global dan panduan dasar kepada lebih 160 kementerian yang melibatkan ekonomi dan inovasi serta agensi awam serta swasta di lebih 55 negara.

 

Untuk memuat turun laporan Startup Genome 2024, sila layari https://startupgenome.com/report/gser2024.- DagangNews.com