Ekovest batal perjanjian untuk beli projek Bandar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ekovest batal perjanjian untuk beli projek Bandar Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Ecovest Berhad mendedahkan bahawa syarikat tidak akan meneruskan perjanjian induk (HOA) yang telah dimeterai dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) bagi usaha sama projek Bandar Malaysia. 

 

Ini selepas Perjanjian Penjualan Saham Yang Dinyatakan Semula dan Dipinda (RASSA) bagi pembelian 60% saham dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) telah luput pada 6 Mei 2021 berikutan syarat-syarat terdahulu dalam perjanjian itu tidak dipenuhi. 

 

RASSA bagi penjualan 60% saham dalam BMSB kepada IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC), syarikat usaha sama antara IWH dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC), dimeterai pada 17 Disember 2019.

 

“Syarikat ingin memaklumkan bahawa ia telah diberitahu oleh IWH pada 15 Julai 2021 bahawa RASSA antara TRXC dan IWH-CREC telah luput. 

 

“Susulan itu, syarikat dan IWH tidak akan meneruskan HOA bertarikh 8 Disember 2020 kerana ia terbatal dan tidak sah,” jelas Ekovest dalam maklumannya di Bursa Malaysia.

 

HOA itu melibatkan 40% pengambilalihan kepentingan oleh Ekovest menerusi syarikat tujuan khas (SPV) yang dirancang menjadi anak syarikat penuh IWH.

 

Ekovest menjangkakan jumlah pelaburan bagi penyertaannya dalam projek Bandar Malaysia bernilai RM1.48 bilion atau 12% daripada jumlah harga pembelian yang dibayar oleh IWH-CREC untuk mengambil alih 60% kepentingan BMSB.

 

BMSB adalah milik penuh TRX City Sdn Bhd manakala TRX City pula merupakan anak syarikat 100% di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).

 

Perjanjian itu pada awalnya dijangka menjadikan Ekovest sebagai pelabur strategik bagi projek mega tersebut. - DagangNews.com