Taiwan tolak rancangan penggabungan Uber-Foodpanda, dibimbangi monopoli pasaran penghantaran makanan | DagangNews Skip to main content

Taiwan tolak rancangan penggabungan Uber-Foodpanda, dibimbangi monopoli pasaran penghantaran makanan

Gambar Jono Thomson/ Taiwan News

KUALA LUMPUR 27 Dis - Taiwan menolak rancangan syarikat penghantaran teksi, Uber untuk membeli Foodpanda dari Delivery Hero, atas alasan pembelian tersebut akan memberi kesan buruk terhadap persaingan pasaran.

 

Gergasi penghantaran teksi dari Amerika Syarikat itu berhasrat untuk memperoleh Foodpanda Taiwan menjelang separuh pertama 2025 dengan nilai RM4.4 bilion, menggabungkan dua pemain utama dalam pasaran penghantaran makanan Taiwan.

 

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Perdagangan Taiwan, Chen Chi-ming berkata, jika pemerolehan itu berlaku, Uber muncul sebagai pemain terbesar yang tidak perlu bersaing dengan syarikat lain untuk menarik pelanggan.

 

"Penggabungan dua syarikat besar ini membawa lebih banyak keburukan berbanding manfaat ekonomi.

 

"Ia akan mengurangkan persaingan dalam pasaran, yang boleh memberi kesan buruk kepada pengguna dan pasaran secara keseluruhan," katanya dalam satu taklimat media seperti laporan AFP.

 

Chi-ming menambah, bahagian pasaran syarikat yang digabungkan akan melebihi 90 peratus, menjadikan pasaran hampir dikuasai oleh satu syarikat sahaja, menyebabkan tiada persaingan yang sihat.

 

Katanya, setakat ini, tiada sebarang langkah digariskan yang boleh menjamin persaingan dalam pasaran dikekalkan selepas penggabungan. 

 

"Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa tidak dapat memastikan bahawa persaingan akan wujud dalam pasaran jika penggabungan itu diteruskan," jelasnya.

 

Beliau berkata, FTC telah menjalankan analisis ekonomi untuk menilai kesan penggabungan tersebut terhadap persaingan dan menerima lebih 600 maklum balas daripada platform penghantaran makanan dan agensi berkaitan.

 

Kesatuan perdagangan penghantaran Taiwan, menyambut baik keputusan FTC itu, dengan jurucakap Su Po-hao berkata, ia memastikan manfaat yang lebih besar untuk masa depan industri penghantaran makanan.

 

Menurut kesatuan berkenaan, penggabungan itu akan mewujudkan monopoli dan menyebabkan kerugian besar kepada penghantar makanan, penjual dan pengguna.

 

Uber pada Mei lalu berkata, rancangan penggabungan itu adalah antara yang terbesar di Taiwan selain industri semikonduktor. - DagangNews.com