Eksport dijangka pulih, tapi berdepan cabaran | DagangNews Skip to main content

Eksport dijangka pulih, tapi berdepan cabaran

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Aktiviti perdagangan Malaysia dijangka pulih tahun ini tetapi masih berdepan cabaran yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan. 

 

CGS-CIMB berkata, aktiviti dagangan dijangka pulih dengan melihat risiko bagi tempoh terdekat ini daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0. 

 

Keadaan ini akan didorong oleh pembukaan ekonomi secara berperingkat, penghantaran vaksin COVID-19 serta rangsangan fiskal dan monetari.

 

Firma itu mengunjurkan eksport kasar akan berkembang 10.9% berbanding penyusutan 1.4% pada 2020 manakala import kasar meningkat 11.5% (berbanding -6.3% tahun lalu). 

 

"Ini menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM200 bilion atau 13% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyokong lebihan dagangan semasa, ia diunjur 2% daripada KDNK pda tahun ini berbanding 2.8% pada 2020," katanya dalam nota kajian. 

 

Eksport Malaysia melonjak 10.8% tahun ke tahun pada Disember melebihi jangkauan firma itu didorong oleh permintaan luaran yang kukuh bagi produk semikonduktor, bekalan penjagaan kesihatan dan minyak sawit. 

 

Bagi keseluruhan 2020, eksport merosot bagi tahun kedua berturut-turut pada 1.4% berbanding 0.8% tahun lalu
akibat pandemik COVID-19 yang mencetuskan kemerosotan global. 

 

Import pula jatuh 6.3% berbanding 3.5% pada 2019. 

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research menjangkakan eksport Malaysia berada dalam landasan pemulihan tahun ini seiring dengan pertumbuhan ekonomi global apabila negara memulakan pelancaran vaksin bagi mengekang wabak itu. 

 

"Bagaimanapun, terdapat banyak cabaran yang akan menjejaskan langkah pemulihan itu termasuk penangguhan pelan vaksin dan varian baharu COVID-19. 

 

"Tetapi, kepelbagaian eksport Malaysia dan hubungan dagangan yang kukuh akan menjadi sumber utama pertumbuhan," katanya. 

 

Firma itu mengunjurkan eksport berkembang 4% tahun ini berbanding -1.4% pada 2020. - DagangNews.com