Eksport minyak sawit Indonesia dijangka melonjak 60% pada separuh kedua 2022 | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Indonesia dijangka melonjak 60% pada separuh kedua 2022

KUALA LUMPUR 23 Julai - Penghantaran minyak sawit dari Indonesia dijangka melonjak lebih daripada 60% pada separuh kedua tahun ini berbanding enam bulan pertama apabila kerajaan negara itu meningkatkan eksport bagi mengurangkan inventori yang yang semakin meningkat.

 

Menurut Pemangku Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Indonesia, Sahat Sinaga, negara itu berkemungkinan menghantar 17.3 juta tan ke luar negara dari Julai hingga Disember berbanding hanya 10.7 juta tan pada separuh pertama, yang jauh lebih rendah daripada jangkaan akibat larangan eksport pada akhir April 2022.

 

Peningkatan bekalan akan mengekalkan harga minyak masak yang paling banyak digunakan di dunia di bawah tekanan dan berkemungkinan memperlahankan inflasi makanan global yang direkodkan pada awal tahun ini.

 

Penganalisis, Dorab Mistry berkata, harga minyak sawit dijangka turun lebih 20% menjelang September berikutan peningkatan kargo.

 

Bekalan di Indonesia semakin bertambah akibat larangan eksport sebelum ini yang bertujuan menstabilkan harga di pasaran domestik.

 

Mistry menjangkakan, inventori mereka kini berada pada sekitar 10 juta tan dan akan terus bertambah pada Ogos 2022 kerana penghasilan domestik yang tinggi manakala Singa berkata, bekalan sebenar sudah melepasi paras 17 juta tan pada awal Julai 2022.

 

Sinaga berkata, isu utama yang perlu diselesaikan segera adalah tahap inventori yang terlalu banyak yang menyebabkan kilang pemprosesan tidak lagi membeli buah tandan segar daripada sehingga menyebabkan ia rosak di ladang.

 

Keadaan itu akan mengurangkan kadar pengeluaran kepada 50.2 juta tan berbanding jangkaan awal 53.8 juta, berbanding 51.3 juta tan pada tahun lalu, katanya.

 

"Aktiviti eksport perlu disegerakan bagi mengurangkan kapasiti penyimpanan untuk pengeluaran baharu yang dijangka mencecah angka tertinggi 4.6 juta tan pada November 2022.

 

"Kerajaan boleh meningkatkan eksport dengan melanjutkan pengecualian levi kepada Oktober selain memotong cukai eksport sebanyak 25% kerana pengecualian levi eksport sepanjang Ogos tidak mencukupi untuk memacu kadar eksport," katanya, lapor Bloomberg.

 

Indonesia menghapuskan larangan eksport pada Mei 2022 dan menggantikannya dengan dasar yang memerlukan pengeluar menjual sebahagian daripada hasil keluaran kepada pasaran domestik dan juga memberi syarikat pilihan untuk membayar cukai khas bagi mendapatkan kuota eksport tambahan.

 

"Lupakan polisi obligasi pasaran domestik untuk sementara waktu kerana ia menyukarkan prosedur eksport," kata Sinaga.

 

Menukar jumlah obligasi pasaran domestik kepada kuota eksport memerlukan masa dan pengeksport perlu mendapatkan permit selain mencari pembeli serta kapal sebelum menghantarnya ke pasaran global. - DagangNews.com