Eksport minyak sawit Ogos dijangka turun 5% | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Ogos dijangka turun 5%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Eksport minyak sawit pada bulan Ogos 2020 dijangka turun 5% berbanding bulan lalu diikuti penurunan hasil pengeluaran pada peratusan yang sama. 

Ini adalah susulan aktiviti mengisi semula komoditi itu dijangka bergerak perlahan kerana tiada lagi pelaksanaan cukai eksport di Malaysia dan kadar stok yang rendah di China dan India.

Berikutan itu, CGS-CIMB Research menjangkakan stok minyak sawit bagi bulan sama turun 1% berbanding bulan lalu kepada 1.67 juta tan. 

“Pada 10 hari pertama bulan Ogos, kadar eksport turun 5% hingga 6%. Kami menjangkakan permintaan terhadap minyak sawit akan meningkat menjelang sambutan festival pertengahan musim luruh pada 1 Oktober 2020.

“Bagaimanapun, ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya permintaan biodiesel lemah memandangkan harga minyak sawit mentah melemahkan ekonomi biodiesel yang sekali gus menjejaskan keperluan B30 di Indonesia,” jelas CGS-CIMB.

CGS-CIMB turut meramalkan harga minyak sawit mentah akan diniagakan antara RM2,400 hingga RM2,800 bagi setiap tan pada Ogos 2020 kerana jumlah stok yang sedikit.

Jangkaan itu sekaligus meletakkan purata harga minyak sawit mentah bagi tahun kewangan 2020 pada kadar RM2,300.

Pada bulan lalu, hasil pengeluaran minyak sawit mentah turun 4% berbanding bulan sebelumnya. Tetapi, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, kadar itu meningkat 4% kepada 1.81 juta tan.

Penurunan hasil pengeluaran berbanding bulan sebelumnya didorong oleh produktiviti yang rendah memandangkan pekerja menyambut Hari Raya Aidiladha.

Mengikut musim, pengeluaran minyak sawit Malaysia akan melonjak antara bulan Ogos hingga Oktober dan mula menunjukkan penurunan pada November dan Disember. - DagangNews.com