Elak lebih banyak belia menganggur | DagangNews Skip to main content

Elak lebih banyak belia menganggur

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) mengakibatkan lebih ramai hilang pekerjaan apabila kadar pengangguran terus meningkat pada Januari, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan.

 

Pada Januari, kadar pengangguran meningkat kepada 4.9% dengan bilangan penganggur sebanyak 782,500 orang berbanding 4.8% pada bulan sebelumnya dengan 772,900 hilang pekerjaan. 

 

Namun, di sebalik peningkatan kadar pengangguran ini, data Jabatan Perangkaan menunjukkan golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun yang menganggur naik 0.5% kepada 9.2% berbanding 8.7% pada Disember 2020. 

 

Golongan ini dilihat 'tersepit' di tengah-tengah krisis pandemik COVID-19 kerana turut melibatkan lepasan universiti yang baru memasuki pasaran pekerjaan atau mereka yang hilang pekerjaan dan masih lagi tercari-cari peluang baharu. 

 

Dalam hal ini, Penyelidik Ekonomi Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, sistem pendidikan tinggi di negara ini perlu melakukan penambahbaikan bagi memastikan pihak industri dan universiti bekerjasama menghasilkan bakal-bakal graduan yang sedia industri.

 

"Antara isu utama mengenai masalah pengangguran ialah proses pengubahan kemahiran memandangkan terdapat beberapa sektor memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu pasaran buruh mendapat kemahiran baru kerana transformasi digital yang pesat selepas krisis 2020," katanya kepada DagangNews.com

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara mempunyai masalah graduan yang ramai tetapi tidak menepati piawaian sebagai seorang pekerja yang sedia industri dan perkara ini berkait rapat dengan masalah sistem pendidikan tinggi di mana ia tidak menghasilkan modul yang boleh memadankan permintaan industri pada masa kini.

 

Namun, katanya, pengangguran belia bukanlah isu yang baru kerana dari segi permintaan buruh, kerana telah terbukti negara masih kekurangan kerja yang berasaskan kemahiran tinggi dan menyebabkan ramai graduan tidak dapat bekerja dengan menggunakan kemahiran yang mereka belajar dari pendidikan tinggi. 

 

"Apabila mereka bekerja di industri lain, mereka perlu dilatih semula oleh industri. Hal ini antara punca kenapa kita mempunyai masalah pengangguran belia.

 

"Tetapi, kita sedia maklum industri ini memang akan berubah setiap tahun mengikut peredaran teknologi dunia, sebab itu pendidikan tinggi juga perlu mempunyai kelonggaran atau fleksibiliti untuk memperbaharui modul pembelajaran mereka (jika perlu) untuk memastikan pendidikan tinggi kita dapat melahirkan graduan yang kompetitif dan sedia industri," katanya. 

 

Beliau menegaskan, usaha kerajaan perlu diperkasakan lagi untuk menampung kadar pengangguran yang terus meningkat. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, prospek pasaran buruh adalah berbeza bergantung kepada keadaan industri, misalnya, industri getah merupakan industri yang paling banyak memperoleh keuntungan ketika krisis COVID-19 dan permintaan buruh akan terus berkembang untuk industri ini. 

 

Namun, situasi ini berbeza bagi industri pelancongan yang mana kesannya sangat teruk dan ramai pekerja hilang punca pendapatan sehingga ke hari ini. 

 

"Industri pelancongan juga sangat bergantung kepada proses vaksinasi negara kita dan juga negara luar. Selagi populasi Malaysia dan negara jiran tidak divaksinkan melebihi 50%, sukar untuk jangkakan jika tenaga buruh dalam industri pelancongan kembali pulih pada tahun ini," katanya.

 

Beliau berkata, pasaran buruh akan terus menjadi tidak tentu sehingga akhir tahun ini dan semakin merosot sehingga pertengahan tahun, sebelum menunjukkan sedikit pemulihan akhir tahun ini.

 

Semalam, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan. 

 

Ini membabitkan industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi. 

 

Sementara itu, dalam nota kajian, MIDF Research menjangkakan pasaran buruh kembali pulih dalam beberapa bulan akan datang memandangkan perintah sekatan semakin dilonggarkan dan banyak perniagaan mula beroperasi. 

 

"Dalam erti kata lain, kami berpendapat kelemahan pasaran buruh pada awal 2021 ini hanya sementara, dan pasaran pekerjaan semakin bertambah baik pada suku kedua ini seiring pemulihan dalam aktiviti ekonomi," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar pengangguran bagi tahun ini akan berlegar pada paras 4.3% tahun ini, berbanding 4.5% pada 2020. 

 

Tambahnya, impak PKP 2.0 ke atas pasaran pekerjaan juga adalah minimal memandangkan perniagaan dibenarkan beroperasi walaupun ketika sekatan dilaksanakan.

 

"Unjuran ini dibuat setelah mengambil kira semakan menurun dalam pertumbuhan ekonomi dengan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4% tahun ini, lebih perlahan berbanding unjuran sebelum ini," katanya.

 

UOB Global Economics & Markets Research, pula menjangkakan kadar pengangguran akan bertambah baik berbanding tahun lalu dengan mencecah sekitar 4% tahun ini. 

 

"Ini kerana di sebalik kadar pengangguran yang tinggi, pasaran buruh menunjukkan sedikit pemulihan di tengah-tengah penyertaan tenaga buruh yang tinggi. 

 

"Selain itu, beberapa inisiatif kerajaan bagi menyokong pasaran buruh dan juga pelancaran vaksin COVID-19 dapat membantu meningkatkan kembali sentimen," katanya. 

 

Bilangan tenaga buruh meningkat 0.2% bulan ke bulan dengan pertambahan sebanyak 31,500 orang kepada 16.02 juta berbanding Disember 2020 sebanyak 15.99 juta, menurut data Jabatan Perangkaan bagi Januari 2021.

 

Trend yang sama juga dapat dilihat bagi perbandingan tahun ke tahun dengan bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 190,500 orang berbanding tempoh sama tahun lalu, sebanyak 15.83 juta orang. 

 

"Kami melihat pasaran buruh akan kembali mendapatkan semula momentum sekitar suku kedua ini," katanya. - DagangNews.com