KUALA LUMPUR 17 Feb - TA Research menjangkakan permintaan keseluruhan bagi pembiayaan sewa beli kereta terpakai kekal stabil didorong perkembangan ekonomi yang baik.
Firma itu berkata, ELK-Desa Resources Berhad akan memberi fokus meningkatkan portfolio sewa beli secara berterusan namun kekal berhati-hati dengan persekitaran makro yang mencabar.
Katanya, kumpulan itu menjangkakan trend caj kredit akan kembali normal.
"Kami bagaimanapun kekal berhati-hati dengan risiko-risiko berkaitan seperti peningkatan kos sara hidup disebabkan oleh peningkatan tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah yang boleh menjejaskan pendapatan boleh guna peminjam serta keupayaan untuk membayar balik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, keuntungan bagi 9MFY23 meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun kepada RM40.2 juta daripada RM20.2 juta pada tahun sebelumnya didorong perkembangan hasil yang positif.
Keputusan kewangan kumpulan itu berjaya melepasi unjuran firma itu dengan untung bersih menyumbang 93% daripada ramalan tahun penuh mereka.
Hasil bagi 9MFY23 melonjak 24% didorong sumbangan yang lebih baik daripada kedua-dua segmen sewa beli dan perabot.
Pendapatan dalam segmen perabot melonjak kepada RM40.4 juta daripada RM29.1 juta setahun yang lalu manakala hasil daripada segmen sewa beli meningkat sebanyak 17% selain penghutang sewa beli meningkat kira-kira 19% kepada RM560.3 juta pada 31 Disember 2022.
Firma itu berkata, sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik dijangka menyokong permintaan untuk perabot berkualiti.
Katanya, selaras dengan rancangan untuk meningkatkan jejaknya dalam pasaran borong perabot rumah domestik, kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan pengedar serta pengilang perabot untuk mencari produk perabot yang lebih baikuntuk pengguna Malaysia.
"Dalam pada itu, usaha sedang dibuat untuk mengoptimumkan keupayaan pengurusan stok dan logistik, termasuk menguruskan potensi kesesakan rantaian bekalan akibat gangguan logistik bagi memastikan penghantaran pesanan pelanggan tepat pada masanya," katanya.
Firma itu bagaimanapun menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham. - DagangNews.com