EP Manufacturing bangunkan kilang pembuatan EV bernilai lebih RM100 juta di Melaka | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing bangunkan kilang pembuatan EV bernilai lebih RM100 juta di Melaka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama sebuah kenderaan EV yang dipamerkan semasa majlis pecah tanah kilang pembuatan kenderaan EV dan EEV di Melaka, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan pembinaan kilang pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) pertama di negara ini dengan nilai pelaburan melebihi RM100 juta di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka.

 

Projek itu dijangka mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan baharu di negeri itu selain mengukuhkan kepentingan Melaka dalam industri EV serantau dan global. 

 

Setelah siap, fasa pertama kilang baharu itu akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30,000 kenderaan setahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EP Manufacturing, Ahmad Razlan Mohamed berkata, pembinaan kilang pembuatan EV adalah langkah penting untuk mewujudkan visi lengkap kumpulan bagi membangunkan rangkaian penuh bagi pasaran EV Malaysia. 

 

"Menerusi kerjasama rapat bersama rakan strategik kami, BAIC, kami bersedia untuk membina kilang pembuatan EV dengan teknologi terkini di Melaka. Ini sebuah permulaan babak seterusnya dalam trajektori pertumbuhan kami. 

 

pecah tanah
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tiga dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah kilang pembuatan kenderaan EV dan EEV di Melaka, hari ini.

 

"Selain itu, kami dengan penuh semangat menantikan kerjasama dengan Great Wall Motor dalam menyumbang untuk meletakkan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk EV dan EEV di rantau ASEAN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

EPMB menerima kelulusan untuk Lesen Pengilangan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia pada 11 Julai 2023 yang membenarkan operasi pembuatan dan pemasangan EEV, EV EV, dan kenderaan komersial elektrik.

 

Malaysia telah berjaya memperoleh RM26.2 bilion pelaburan yang diluluskan untuk sektor EV melalui 59 projek dari 2018 hingga separuh pertama 2023.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, kerjasama dengan BAIC adalah bukti keyakinan mereka terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan menggariskan keupayaan pembuatan automotif termaju negara, dengan didahului EPMB. 

 

"Kemudahan pembuatan baharu ini, khusus untuk EEV dan EV, adalah selaras dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB), Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030). 

 

"Dasar ini ditetapkan untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran yang sensitif kepada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan ekosistem teknologi sektor pembuatan dan komitmen Malaysia ke arah sektor pengangkutan yang lestari," katanya. - DagangNews.com