EPB Group diramal catat untung bersih, jualan dua digit didorong peningkatan pasaran jentera pembungkusan - TA Securities | DagangNews Skip to main content

EPB Group diramal catat untung bersih, jualan dua digit didorong peningkatan pasaran jentera pembungkusan - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - TA Securities meramalkan jualan EPB Group Bhd masing-masing meningkat 10%, 12% dan 15% bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 (FY24/FY25/FY26).

 

Katanya, ramalan itu disokong oleh peningkatan pasaran untuk pemprosesan makanan dan jentera pembungkusan.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 15.3%, 24.9% dan 18.5% dalam tempoh yang sama, didorong oleh peningkatan permintaan dalam sektor pembuatan dan pemprosesan makanan serta langkah kawalan kos.

 

Unjuran itu berdasarkan peningkatan margin keuntungan bersih kepada 12.2%, 13.6% dan 14.1% untuk FY24/FY25/FY26 hasil daripada strategi pengoptimuman kos yang berkesan.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk mesin pembuatan dan pemprosesan makanan akan meningkat berikutan trend revolusi industri 4.0 yang berterusan dengan permintaan rumusan automasi semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Securities juga mendedahkan, rancangan EPB bagi meningkatkan kehadirannya di Pulau Pinang dengan menubuhkan pejabat korporat dan kilang baharu dengan keluasan binaan gabungan seluas 70,000 kaki persegi.

 

Katanya, buat masa sekarang, syarikat itu mengendalikan kilang dengan keluasan binaan 28,355 kaki persegi di Taman Sains Pulau Pinang.

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan bangunan kilang sedia ada mereka sebanyak 83% kepada 52,000 kaki persegi

 

“Sebahagian daripada tanah (18,000 kps) itu akan digunakan sebagai bilik pameran dan gudang, membolehkan kumpulan itu mempamerkan jentera dan menyimpan bahan mentah serta barangan siap.

 

"Secara keseluruhannya, bangunan kilang baharu itu akan meningkatkan pengeluaran mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata,  pengembangan di Pulau Pinang itu termasuk membina sebuah kilang dan pejabat korporat baharu bagi memenuhi permintaan masa hadapan.- DagangNews.com