Ethereum lepasi AS$3,500 - pengasas berusia 27 tahunnya kini Bilionair | DagangNews Skip to main content

Ethereum lepasi AS$3,500 - pengasas berusia 27 tahunnya kini Bilionair

Pengasas dan pereka cipta mata wang kripto Ethereum, Vitalik Buterin

 

 

NEW YORK 7 Mei – Kebanyakan tajuk berita mata wang kripto tahun ini berkisar kepada Bitcoin dan Dogecoin, tetapi bulan Mei adalah milik Ethereum.

 

Ethereum, yang diguna lebih meluas berbanding Bitcoin, mencecah tahap AS$3,000 (RM12,349) pertama kali pada Ahad lepas dan naik kepada AS$3,500 (RM14,407) pada Khamis. Setahun yang lalu, ia hanya bernilai AS$211 (RM868).

 

Blok rantai Ethereum diasaskan pada tahun 2013 oleh programer berketurunan Rusia-Kanada, Vitalik Buterin semasa beliau berusia hanya 19 tahun. Buterin memegang lebih 333,000 token Ether, meletakkan nilainya kini melebihi AS$1.1 (RM4.53) bilion, menurut cnet.com

 

Mata wang kripto secara keseluruhan, kini memiliki modal pasaran melebihi AS$400 bilion (RM1.64 trilion) dan telah tumbuh dengan pesat sejak beberapa tahun ini, kebanyakannya dengan jangkaan terhadap pelancaran semula Ether 2.0.

 

Namun lonjakan terbaharu ini dikaitkan dengan berita minggu lepas bahawa Bank Pelaburan Eropah (EIB) telah menerbitkan bon bernilai AS$120 juta (RM494 juta) menggunakan blok rantai Ethereum. DogeCoin juga mencecah paras baharu iaitu hampir 70 sen (RM2.88) susulan penyenaraiannya di eToro.

 

Sementara Bitcoin merupakan mata wang kripto yang paling dikenali, berharga AS$57,000 (RM234,640) untuk satu token dan dengan modal pasaran lebih 1 trilion dolar, ia digunakan hampir keseluruhannya sebagai aset spekulatif untuk orang berjual beli.

 

Ether pula, mata wang kripto yang dibina di atas blok rantai ethereum, merupakan mata wang digital paling meluas digunakan di dalam perdagangan kripto. `Di bawah’ Bitcoin dan Ethereum adalah puluhan ribu "altcoins," sama seperti saham kecil (pennystocks), yang kebanyakannya didagang menggunakan Ether. NFT, token yang mengesahkan pemilikan produk digital, dimaklumi dibeli dan dijual menggunakan Ether, bukan Bitcoin.

 

Syiling seperti Bitcoin dan Ethereum telah tumbuh dengan begitu besar sejak akhir tahun 2020 atas banyak sebab, termasuk syarikat-syarikat besar teknologi mengguna pakai mata wang kripto dan kejayaan IPO bagi Coin Base. – DagangNews.com