PUTRAJAYA 23 Jun - Kementerian Sumber Manusia (KSM) maklum dan prihatin dengan situasi yang
dihadapi oleh para pekerja dan majikan dalam semua sektor termasuklah sektor peruncitan dan membeli-belah yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 seperti yang dilaporkan oleh media.
Sehubungan itu, KSM meminta supaya para pekerja dan majikan yang terlibat mendapatkan bantuan atau
faedah sementara yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
SIP merupakan satu program jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu para pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan secara sementara.
SIP juga bertujuan membantu mereka yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Orang berinsurans akan diberi nasihat dan bantuan serta juga peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui skim Latihan yang disediakan oleh Kerajaan.
Bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan, antara bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang akan diberikan adalah seperti berikut;
i. Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) melalui inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan semasa Belanjawan 2021, iaitu menyediakan elaun mencari pekerjaan bagi tempoh minima 3 bulan dan maksimum 9 bulan.Elaun Mencari Pekerjaan yang dibayar adalah 80% pada bulan pertama, 50% pada bulan kedua sehingga bulan keenam, 30% pada bulan ketujuh sehingga kesembilan.
Selain itu, Kerajaan juga telah melonggarkan syarat kelayakan bagi pekerja tidak memenuhi syarat kelayakan caruman (CQC) minimum 12 bulan atau yang habis tempoh kontrak perkhidmatan sekurang-kurangnya 12 bulan dan pernah diperbaharui sekurang-kurangnya tiga kali adalah layak memohon bantuan kewangan SIPPRIHATIN sebanyak 30% selama 3 bulan.
ii. Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di mana ianya adalah elaun yang dibayar kepada Orang Berinsurans yang kembali bekerja dengan cepat.
Elaun bekerja semula awal ini bertujuan sebagai insentif untuk menggalakkan Orang Berinsurans untuk kembali bekerja dengan segera.
Kadar bayaran elaun adalah sebanyak 25% daripada baki EMP dan dibayar
secara pukal;
iii. Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), adalah elaun yang disediakan kepada Orang Berinsurans yang bekerja dengan lebih daripada satu majikan dan telah kehilangan pekerjaan dari salah satu majikan tersebut.
Kadar dan tempoh bayaran adalah sama dengan EMP;
iv. Orang Berinsurans (OB) yang menjalani latihan akan mendapat Elaun Latihan di antara RM10 hingga RM20 sehari selama 6 bulan;
v. Fi Latihan dibayar kepada Penyedia Latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.
vi. Faedah bantuan pencarian pekerjaan untuk membantu Orang Berinsurans dapat kembali bekerja semula iaitu dengan sokongan secara individu oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO kepada Orang
Berinsurans.
KSM merayu supaya permohonan tuntutan faedah SIP dibuat sama ada secara dalam talian di Portal SIP atau pun hadir di mana-mana kaunter PERKESO yang berhampiran.
Para pekerja yang telah kehilangan pekerjaan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) secara dalam talian berhubung permasalahan yang dihadapi.
Selain itu, pekerja yang terkesan juga boleh melayari portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my untuk mendapatkan peluang-peluang pekerjaan.
Portal Pekerjaan Negara ini adalah terbuka untuk semua lapisan masyarakat. Pada masa ini terdapat 242,598 kekosongan jawatan aktif yang berdaftar di bawah Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs.
Sila layari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/ms/utama/ atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel ke eis@perkeso.gov.my untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com