KUALA LUMPUR 29 Ogos - Farm Fresh Bhd diramal terus mencatatkan pertumbuhan positif pada suku akan datang dipacu kejayaan memasuki pasaran susu UHT dan susu bagi membantu tumbesaran kanak-kanak.
RHB Investment berkata, tidak hanya bergantung kepada kejayaan itu, kumpulan itu akan berusaha menembusi dua pasaran baharu iaitu pasaran barangan pengguna (CPG) seperti aiskrim dan minuman coklat bagi mengekalkan pertumbuhan positif.
Katanya, antara produk baharu dalam perancangan termasuk susu kultur bagi memberikan saingan kepada Yakult dan Vitagen , pada masa sama ia akan memberikan sokongan lanjur kepada jualan dalam segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA).
"Sementara itu, kami menjangkakan kumpulan itu mencatatkan peningkatan margin untung kasar pada masa hadapan kerana susu tepung dan susuh mentah mencatatkan harga lebih rendah (5% dan 11% berbanding 1QFY25) dan ia akan mula mencerminkan kos input pada suku seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Farm Fresh pada 1QFY25 melonjak 4 kali ganda kepada RM25.9 juta dipacu jualan lebih tinggi
Terdahulu, hasil pada 1QFY25juga meningkat kepada RM241.7 juta berbanding RM185.5 juta 1QFY24.
Peningkatan itu juga disumbangkan daripada bahagian aiskrimnya di bawah jenama Inside Scoop dan Sin Wah.
Sementara itu, operasi di Australia juga telah berubah dengan merekodkan hasil yang lebih tinggi dan menjana keuntungan operasi bagi suku tersebut, didorong oleh jualan luaran yang lebih tinggi daripada Goulburn Valley Creamery Pty Ltd.
Firma penyelidikan itu berkata, kami menyukai Farm Fresh kerana momentum pertumbuhan berterusan disokong oleh pelan pengembangan berterusan dan pasukan pengurusan yang proaktif.
Katanya, strategi untuk menembusi segmen pasaran baharu dengan memanfaatkan ekuiti jenamanya akan terus memacu pertumbuhan manakala kos dan tukaran mata wang asing yang menguntungkan akan mengekalkan pemulihan margin.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.88 sesaham," katanya. - DagangNews.com