Farm Fresh serahkan dana RM500,000 kepada Perdana Menteri untuk Yayasan Didik Negara | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh serahkan dana RM500,000 kepada Perdana Menteri untuk Yayasan Didik Negara

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Syarikat pembekal susu terkemuka negara, Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. menyerahkan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk disalurkan kepada Yayasan Didik Negara.

 

Ismail Sabri menerima sumbangan itu daripada Pengarah Operasi Farm Fresh Milk, Azmi Zainal di pejabatnya di bangunan Parlimen dan dihadiri Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.

 

Radzi berkata, Yayasan Didik Negara yang ditubuhkan pada Julai lepas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM itu bertujuan untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara menerusi penglibatan kerajaan dan semua pihak khususnya sektor swasta.

 

"Sekarang kami masih di peringkat awal pengumpulan dana daripada pelbagai pihak. Hari ini kami menerima sumbangan daripada Farm Fresh, Insya Allah pada masa akan datang lebih banyak penerimaan dana daripada pelbagai pihak dan sampai masa kami akan lancarkan yayasan ini secara rasmi," katanya di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengadakan libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sektor korporat bagi pengumpulan dana yayasan itu.

 

Radzi berkata, penyusunan program-program Yayasan Didik Negara termasuk perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang juga sedang dibuat yang akan memfokuskan kepada agenda pendidikan untuk memberi manfaat kepada lebih lima juta murid serta lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.
 

"Kami akan adakan pelbagai program di bawah yayasan. Kami kumpulkan pelbagai sumbangan daripada pelbagai pihak dan ada program tertentu di bawah yayasan yang sedang kami susun dan berdasarkan keperluan kami akan lihat bilakah, di manakah dan berapa banyak dana-dana ini akan digunakan untuk tujuan tertentu.

 

"Pelbagai program sedang kami aturkan. Insya-Allah sampai masa kami akan jelaskan tentang program-program ini supaya masyarakat pelbagai pihak dapat turut sama menyumbang kepada Yayasan Didik Negara," katanya.

 

Sementara itu, Azmi berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Yayasan Didik Negara terutamanya dalam pengumpulan dana dan pihaknya bercadang untuk mengumpul dana khusus untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

 

"Insya Allah mungkin melalui program Gegar Vaganza. Saya yakin kami boleh kumpul dana yang banyak supaya anak-anak ini nanti boleh dapat biasiswa pendidikan.

 

"Ini satu inisiatif yang kami buat supaya dapat dicontohi syarikat lain. Inilah masanya syarikat korporat membantu," katanya.-DagangNews.com