KUALA LUMPUR 15 April - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mempertingkat aspek keselamatan landasannya menerusi pelaksanaan fasa kedua ujian lapangan operasi sistem pengesanan serpihan objek asing (FODDS) berkualiti tinggi.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, fasa pertama projek itu telah dilancarkan pada 2019 melibatkan pemasangan dua menara dengan radar FODDS serba canggih.
Usaha pemasangan sistem tersebut adalah hasil kerjasama tiga pihak iaitu MAHB, Hitachi Kokusai Electric Co Ltd (HiKE), Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, fasa kedua itu melibatkan pemasangan penuh baki sembilan menara dengan radar berketepatan tinggi sama yang dijangka siap menjelang November ini dan dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.
Menurutnya, radar tersebut mampu mengesan sebarang Serpihan Objek Asing (FOD) pada jarak 500 meter dalam masa 10 saat dengan menggunakan teknologi radio terkini berbanding teknologi gentian.
"Teknologi baharu itu meningkatkan aspek ketepatan dan keberkesanan pemantauan keselamatan landasan dengan mengesan bahan FOD paling kecil seperti butiran beras, batu selain hidupan liar bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk membabitkan pesawat,” katanya.
Mohd Shukrie berkata KLIA juga sentiasa mengikuti rapat perkembangan teknologi serta amalan terbaharu lapangan terbang global dalam usaha memperkukuh operasi keselamatannya.
"Kami berbangga menjadi lapangan terbang pertama di dunia yang dilengkapi teknologi FODDS terbaharu dengan fungsi sepenuhnya selepas prototaip di Narita, Jepun. Ini adalah contoh penerimagunaan teknologi selain bukti keupayaan lapangan terbang kami yang lebih bersedia mengendalikan permintaan masa depan apabila perjalanan udara kembali pulih.
“MAHB juga komited untuk memastikan tahap keselamatan tinggi untuk rakan syarikat penerbangan serta para penumpang. Syarikat penerbangan misalnya mendapat jaminan dari segi kelancaran operasi manakala penumpang berupaya menikmati pengalaman pesawat mendarat dan berlepas yang lancar,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, ciri lain FODDS itu adalah penggunaan kamera resolusi tinggi bagi merakam imej FOD yang jelas dan berkualiti selain membolehkan pengumpulan data masa nyata, sekali gus mempercepat operasi pengesanan dan pembersihan objek terbabit.
Menurutnya, FOD itu terdapat dalam bentuk organik seperti hidupan liar, serpihan termasuk bahagian pesawat atau logam di kawasan sekitar lapangan terbang yang berpotensi membahayakan kemudahan itu, kakitangan atau menyebabkan kerosakan pada pesawat.
"Peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menetapkan bahawa pemeriksaan landasan perlu dilakukan empat kali sehari. (Namun) menerusi sistem FODDS ini, kami dapat melakukan pengesanan serta pengumpulan data dalam masa nyata dan sepanjang masa.
"Ini dapat mempermudah usaha pembersihan FOD oleh pasukan terbabit dalam masa lebih singkat. Kami juga dapat memastikan tahap perkhidmatan yang tinggi selain membolehkan kos operasi kekal rendah.
"Pada masa sama, sistem ini juga mesra alam kerana menggunakan gelombang radio yang rendah,” katanya. Malah, Mohd Shukrie berkata, apa lebih penting lagi adalah komuniti lapangan terbang akan lebih yakin terhadap keselamatan mereka berikutan skala tinggi sistem FODDS yang berupaya memenuhi keperluan lapangan terbang apabila aktiviti perjalanan udara pulih semula. - DagangNews.com