Favelle Favco buktikan pemulihan sektor minyak & gas luar pesisir | DagangNews Skip to main content

Favelle Favco buktikan pemulihan sektor minyak & gas luar pesisir

Favelle Favco Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac. - Syarikat pembekal produk dan perkhidmatan perindustrian, Favelle Favco Berhad (Favco) menjadi pemacu kepada pemulihan semula sektor minyak dan gas luar pesisir.

 

MIDF Research berkata, perkara itu dilihat berdasarkan kepada prestasi pesanan yang diterima syarikat berkenaan.

 

"Seperti yang disenaraikan dalam buku pesanan, lima daripada enam pesanan pembelian adalah berkaitan dengan kren luar pesisir bagi kegunaan pemindahan bahan dan kakitangan daripada kapal laut, tongkang dan struktur.

 

"Manakala hanya satu pesanan pembelian melibatkan kren menara," jelas MIDF Research.

 

Dalam jadual yang memaparkan pesanan pembelian, Favco menerima pesanan pembelian daripada enam syarikat berbeza iaitu DESB Marine Services Sdn Bhd, Resolution Rigging Services Pty Ltd, PT Megatama Internal, Offshore Oil Engineering Co. Ltd, Thai Nippon Steel Engineering & Construction Co.Ltd dan Saipem S.P.A.

 

Berikut adalah jadual pesanan pembelian;

.

 

Kesemua pesanan pembelian tersebut melibatkan jumlah RM101.4 juta dan penghantaran dijangka selesai antara suku kedua 2021 hingga suku kedua 2022.

 

MIDF Research memberitahu, penularan wabak COVID-19 serta penurunan harga minyak yang mendadak tahun lalu telah mempengaruhi jumlah pesanan kren.

 

Tidak cukup dengan itu, perkara tersebut turut menyebabkan penangguhan pembelian oleh pelanggan.

 

Bagaimanapun, melihat kepada prestasi harga minyak yang telah mencapai tahap AS$65pb, MIDF Research menjangkakan Favco akan menerima pesanan yang berterusan.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research meletakkan anggaran jumlah buku pesanan Favco sekitar RM492.4 juta.

 

Jumlah tersebut turut mengambil kira pesanan tertungggak berjumlah RM511 juta pada 25 November 2020 dan kadar pelupusan suku tahun sekitar RM120 juta.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Favco dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM3.00. - DagangNews.com