FBM KLCI catat peningkatan 1.1% ditutup pada paras 1,636.55 mata akhir minggu lalu | DagangNews Skip to main content

FBM KLCI catat peningkatan 1.1% ditutup pada paras 1,636.55 mata akhir minggu lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - FBM KLCI meneruskan trajektori menaiknya untuk minggu ketiga berturut-turut, meningkat 1.1% untuk ditutup pada paras tertinggi baharu pada 1,636.55 mata akhir minggu lalu.

 

Bursa Malaysia berkata, momentum kenaikan harga itu disumbangkan oleh keyakinan terhadap kadar pemotongan awal Rizab Persekutuan (Fed) apabila data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan bagi mengurangkan kesan inflasi bagi ekonomi AS.

 

Selain itu, keyakinan pelabur diperkukuh lagi oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 5.8% pada suku kedua 2024.

 

"Secara keseluruhannya, permodalan pasaran meneruskan rentak positifnya dengan sekali lagi mencapai paras tertinggi baharu sebanyak RM2.09 trillion bilion pada 17 Julai sebelum ditutup lebih rendah pada akhir minggu.

 

"Enam daripada 13 indeks menunjukkan pengembangan, dengan sektor pembinaan mendahului pertumbuhan," katanya dalam laporan prestasi dagangan dan aliran dana mingguan berakhir 19 Julai 2024, hari ini.

 

bursa

 

Sementara itu, katanya, pasaran baru muncul mengalami kemerosotan secara meluas minggu lalu apabila tujuh daripada sepuluh bursa saham Asia ditutup lebih rendah.

 

Penyederhanaan itu diterajui oleh Indeks Harga Saham Komposit Korea (KOSPI) dan Bursa Saham Taiwan (TWSE) berikutan pengambilan untung beberapa kaunter berkaitan teknologi. Indeks Pasaran Baru Muncul MSCI ditutup 3.0% lebih rendah.

 

Pasaran China berakhir dalam keadaan bercampur-campur apabila Indeks Komposit Shanghai meningkat sedikit sebanyak 0.4% manakala Indeks Komposit Shenzhen menurun sebanyak 0.5%.

 

Negara itu menamatkan sesi pleno ketiga minggu lalu dengan kerajaan negara itu mengumumkan keputusannya untuk melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh dan mempromosikan pemodenan gaya Cina. - DagangNews.com