Fenomena La Nina berakhir, HLIB positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar KLK pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Fenomena La Nina berakhir, HLIB positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar KLK pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Hong Leong International Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) pada FY25 terutama selepas berakhirnya fenomena La Nina.

 

Selain itu katanya, kumpulan itu juga sudah mengambil langkah perlu bagi menangani isu isu pepijat Mealy.

 

Firma penyelidikan itu berkata, KLK berkemungkinan menamatkan FY24 dengan pertumbuhan pengeluaran BTS dengan angka satu digit pertengahan, lebih rendah berbanding panduan awalnya sebanyak 14%.

 

"Angka itu adalah disebabkan beberapa faktor termasuk kesan fenomena El Nino yang melanda beberapa kawasan penanamannya, isu pepijat Mealy di Sabah dan banjir berpanjangan yang dialami di Sumatera, Indonesia pada awal 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 3QFY24 susut kepada RM2,278 bagi setiap tan berbanding RM2,377 satu tan pada 2QFY24 menjadikan kos pengeluarannya bagi sembilan bulan 2024 turun kepada RM2,227 satu tan (berbanding RM2,400 bagi setiap tan).

 

Katanya, pengurusan menjangkakan julah pengeluaran lebih tinggi secara bermusim pada suku keempat bagi mengurangkan kos pengeluaran MSM FY24 kepada antara RM2,000 hingga RM2,100 satu tan.

 

"Kami memahami bahawa KLK telah menyelesaikan 75% daripada sasaran penanaman semula FY24 seluas 10,000 hektar dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penanaman semulanya," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kumpulan optimis terhadap prospek pembuatan kerana menjangkakan prestasi lemah daripada subsegmen penapisan (dijangka berterusan berikutan lebihan kapasiti di Indonesia) akan diimbangi pemulihan permintaan daripada pasaran Eropah bagi meningkatkan volum jualan segmen oleokimia,

 

Katanya, ia juga disokong pemulihan prestasi beransur-ansur pada syarikat bersekutu dengan penyelarasan berterusan perniagaan teras dan operasi, serta peralihan fokus kepada produk khusus.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM22.86 sesaham," katanya.- DagangNews.com