Festival Beli-belah Global 11.11 Alibaba tampilkan lebih 290,000 jenama | DagangNews Skip to main content

Festival Beli-belah Global 11.11 Alibaba tampilkan lebih 290,000 jenama

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Festival Beli-belah Global 11.11 Kumpulan Alibaba kembali untuk edisi ke-14 yang menampilkan lebih daripada 290,000 jenama di platformnya, sambil memberi peluang kepada jenama dengan melengkapkan mereka dengan alatan dan penyelesaian untuk berkembang dan berjaya pada 11.11 dan seterusnya.

 

Alibaba membantu jenama melalui pelbagai inisiatif seperti membantu mereka seperti mengembangkan program keahlian kesetiaan jenama mereka dan memperkenalkan produk baharu.

 

Lebih daripada 40 jenama di Tmall mempunyai program keahlian kesetiaan yang melebihi 10 juta ahli dan hampir 600 jenama mempunyai program keahlian kesetiaan dengan lebih satu juta ahli.

 

Antara perkara istimewa pada yang akan berlaku pada 11.11 tahun ini ialah pilihan “Bayaran Ansuran Faedah 0%”  yang tersedia kepada pemegang kad kredit CIMB, Public Bank dan Hong Leong Bank.

 

Pembeli yang memilih pilihan pembayaran baharu ini di aplikasi Taobao akan menikmati diskaun faedah 0% semasa 11.11 dan Taobao juga bekerjasama dengan revPay untuk menawarkan diskaun serta-merta sebanyak 50%*. 

 

Pengurus Negara bagi Alibaba Tmall Taobao World Malaysia, Jess Lew berkata, Taobao bukan sahaja lokasi untuk membeli barangan tetapi menyediakan pelbagai pengalaman interaktif kepada semua terutama dalam memenuhi keperluan masyarakat.

 

"Dengan ciri Bayaran Ansuran Faedah 0% baharu sempena 11.11 kali ini dan jualan lanjutan yang bermula 8 malam, kami berharap para pembeli Malaysia dapat  menikmati belian mereka lebih awal dengan penjimatan dan keselesaan yang lebih baik dan pada masa yang sama memaksimumkan kapasiti pembelian mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pra jualan 11.11 di Tmall dan Taobao telah bermula pada 24 Oktober 2022 dengan dua tetingkap daftar keluar yang akan menyusul – tetingkap pertama bermula dari 31 Oktober (8 malam) hingga 3 November 2022, manakala tetingkap kedua bermula 10 November (8 malam) hingga 11 November 2022.

 

Festival 11.11 bukan sahaja merupakan waktu yang istimewa bagi pengguna Malaysia untuk mendapatkan produk yang berkualiti dengan harga diskaun, malah merupakan peluang untuk jenama tempatan menyinar di arena e-dagang antarabangsa. - DagangNews.com