FGV anjur ujian sekolah secara dalam talian di Sabah | DagangNews Skip to main content

FGV anjur ujian sekolah secara dalam talian di Sabah

FGV telah melaksanakan ujian sekolah secara dalam talian untuk para pelajar Pusat Pembelajaran Komuniti FGV di wilayah Sahabat, Sabah baru-baru ini.

 

KOTA KINABALU 12 Mei  Sebagai langkah proaktif untuk memastikan hak kepada pendidikan dalam kalangan anak-anak pekerja ladang migrannya tidak terkesan dengan situasi pandemik  COVID-19, FGV Holdings Berhad (FGV) telah melaksanakan ujian sekolah secara dalam talian untuk para pelajar Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) FGV di wilayah Sahabat (CLC FGV Sahabat), Sabah baru-baru ini.

 

Ujian berlangsung selama lima hari dari 26 hingga 30 April 2021, dan dijalankan serentak di sembilan perkampungan di wilayah Sahabat, iaitu Kampung Baiduri Ayu, Kampung Cenderawasih, Kampung Embara Budi, Kampung Fajar Harapan, Kampung Gemalapura, Kampung Hamparan Badai, Kampung Jeragan Bistari, Kampung Kembara Sakti, dan Kampung Mercu Puspita.

 

Syed Mahdhar Syed Hussain, Pengarah Bahagian Perladangan Kumpulan FGV berkata, FGV sentiasa peka dengan perkembangan dan keperluan anak-anak pekerja di CLC FGV Sahabat, terutama dalam menghadapi situasi wabak COVID-19 yang mencabar ini.

 

“Kaedah ujian secara dalam talian merupakan langkah positif dalam memastikan pelajar CLC kami lebih selamat daripada jangkitan, dan tidak tercicir dalam pembelajaran.

 

"Para pelajar telah menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan oleh CLC FGV Sahabat di samping penggunaan telefon bimbit, dan keputusan ujian bakal diperolehi pada 2 Jun 2021,” kata Syed Mahdhar dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ujian dilaksanakan bagi 88 pelajar tahun enam (umur 12-13 tahun), dan 25 pelajar tingkatan tiga (umur 16-17 tahun) yang mengambil sijil kelulusan pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah yang diselenggarakan oleh Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK).

 

Pelajar tahun enam yang lulus akan menyambung pelajaran ke tingkatan satu di CLC FGV, manakala pelajar tingkatan tiga akan menyambung pelajaran ke tingkatan empat di sekolah-sekolah berasrama penuh di Indonesia.

 

Bagi pelajar-pelajar CLC FGV Sahabat yang terpilih untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia menyediakan peruntukan biasiswa di bawah Program Biasiswa Repatriasi, dan bekerjasama dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu, Konsulat Republik Indonesia Tawau, SIKK, dan Yayasan Pendidikan Sabah Bridge. 

 

Selain ujian dalam talian, CLC FGV Sahabat juga telah menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan secara dalam talian untuk para pelajar CLC di Zon Lahad Datu, Kinabatangan 2 dan Kinabatangan 3.

 

Antara program yang dijalankan termasuk tadarus al-Quran, pertandingan Azan dan hafazan, peringatan Israk Mikraj, ceramah-ceramah pendek, kaligrafi Islam serta nyanyian nasyid. Peserta pertandingan perlu memuatnaik penyertaan masing-masing ke dalam saluran YouTube rasmi CLC FGV Sahabat. Secara keseluruhan, CLC FGV Sahabat telah meraih kemenangan sebagai Juara Umum 1 di zon-zon tersebut.

 

Selaras dengan komitmen berterusan FGV dalam memenuhi hak kepada pendidikan anak-anak pekerja ladang migran, FGV telah memperuntukkan RM500,000 bagi membina dua bangunan CLC baharu di Kampung Hamparan dan Cenderawasih, Sabah. Pembinaan dijangka siap pada Oktober 2021. - DagangNews.com