KUALA LUMPUR 9 Ogos - FGV Holdings Bhd (FGV), salah satu pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar di dunia mengumumkan minyak inti sawit mentah (CPKO) pengeluarannya yang mematuhi Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), mempamerkan dedikasinya untuk menegakkan piawaian kemampanan global dan pematuhan peraturan
Pencapaian itu menandakan satu lagi kejayaan penting bagi FGV sebagai salah satu syarikat Malaysia pertama yang mengeluarkan CPKO yang mematuhi EUDR.
FGV berkata, kini produk makanan dan penjagaan diri yang dibuat daripada CPKO termasuk ais krim bukan tenusu, marjerin, coklat, kuih-muih, sabun dan detergen, dihasilkan mematuhi piawaian EUDR yang ketat.
Menurut FGV, EUDR merupakan rangka kerja perundangan bertujuan untuk memastikan produk yang diimport ke Kesatuan Eropah (EU) bebas daripada aktiviti
penebangan hutan dan degradasi hutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, pengeluaran CPKO patuh EUDR FGV menandakan kemajuan besar operasinya dan menekankan dedikasi untuk memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial global yang ketat.
"Pencapaian ini akan memberi kesan positif kepada keuntungan kami dari semasa ke semasa dan mencerminkan pendekatan proaktif kami terhadap penjagaan alam sekitar dan komitmen
kami terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan,” kata ujarnya.
Selain itu, FGV telah memberi tumpuan untuk mendapatkan Buah Tandan Segar (FFB) daripada tiga sumber utama termasuk ladangnya sendiri, peneroka FELDA dan pekebun kecil bebas yang telah pun selaras dengan EUDR, Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) atau Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) keperluan kebolehkesanan.
Nazrul turut berkata FGV menyasar untuk meluaskan rangkaian rakan perniagaannya daripada kalangan pekebun kecil.
"Langkah strategik itu akan menjanakan peluang ekonomi yang lebih baik untuk mereka, dan seterusnya meningkatkan usaha kemampanan kolektif industri minyak sawit Malaysia,” ulasnya.
Pengurusan Kanan FGV, Pengarah Bahagian Minyak & Lemak Kumpulan FGV, Zulkifli Othman berkata, kini Loji Penghancur Inti FGV di Semambu, Kuantan mengeluarkan CPKO yang mematuhi EUDR.
Terdahulu pada bulan Julai, FGV melancarkan Rangka Kerja Kelestariannya yang dipertingkatkan, memajukan komitmennya terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Rangka kerja ini dibina berdasarkan komitmen kemampanannya yang sedia ada dan terdiri daripada lima teras iaitu pertumbuhan ekonomi, tadbir urus, sosial, alam sekitar dan inovasi dan teknologi.- DagangNews.com